Pemilik tanah dipertanggungjawabkan untuk memohon hakmilik strata bagi pendaftaran hakmilik strata. Pemilik tanah boleh terdiri daripada individu/syarikat/ koperasi/pertubuhan/badan-badan lain termasuk pemaju.
Sekiranya pembeli petak mendapati bahawa permohonan hakmilik strata masih belum dibuat oleh pemilik tanah/pemaju (jika pemaju sebagai pemilik tanah), pembeli petak perlu terlebih dahulu membuat semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia mengenai status syarikat pemilik tanah/pemaju.
Bagi situasi di mana pemilik tanah/pemaju yang masih wujud/syarikatnya berstatus aktif, pembeli petak boleh merujuk kepada pemilik tanah/pemaju mengenai status permohonan pendaftaran hakmilik strata.
Bagi situasi di mana pemilik tanah/pemaju telah digulung, pembeli petak boleh menghubungi pelikuidasi* atau pegawai penerima yang dilantik untuk membuat permohonan hakmilik strata. Jika permohonan hakmilik strata tidak dilaksanakan oleh pelikuidasi atau pegawai penerima, pembeli petak boleh melalui Badan Pengurusan Bersama (Joint Management Body - JMB) mendapatkan perintah mahkamah bagi memohon hakmilik strata.
Selain itu, pembeli petak boleh membuat aduan kepada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri untuk mengambil tindakan penguatkuasaan dan pendakwaan ke atas pemilik tanah/pemaju yang gagal memohon hakmilik strata mengikut seksyen 8 Akta 318.
Catatan: Untuk sebarang maklumat lanjut mengenai pelikuidasi, sila rujuk Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI).
Antara isu umum yang dikenal pasti menyebabkan kelewatan permohonan dan pendaftaran hakmilik strata adalah:
a. permohonan melibatkan bangunan khas yang tidak mempunyai Sijil Layak Menduduki atau Certificate of Fitness for Occupation (CFO), pelan bangunan yang diluluskan dan dokumen-dokumen lain yang menjadi syarat permohonan dan kelulusan hakmilik strata;
b. pemilik tanah/pemaju* gagal dikesan atau meninggal dunia (individu) atau telah digulung (syarikat);
c. pemilik tanah/pemaju* mempunyai masalah kewangan dan pengurusan;
d. tanah masih terikat dengan gadaian yang berkuat kuasa (belum dilepaskan);
e. tanah masih dipegang di bawah hakmilik sementara (qualified title);
f. struktur bangunan yang didirikan memerlukan kelulusan permit ruang udara;
g. struktur bangunan yang dibina di luar sempadan lot tanah;
h. terdapat tunggakan cukai tanah;
i. pelan cadangan strata tidak mengikut pelan bangunan yang diluluskan;
j. pindaan ke atas permohonan terutamanya pelan cadangan strata sepanjang proses permohonan;
k. terdapat kesilapan teknikal atas pelan cadangan strata yang dikemukakan;
l. permohonan yang dikemukakan tidak lengkap/tidak mematuhi ketetapan pihak berkuasa; dan
m. terdapat pindaan/perubahan ke atas pelan bangunan/ pembinaan.
PEROLEHAN PERKHIDMATAN SEWAAN SERVER (HYPER-CONVERGE INFRASTRUCTURE) DAN PERALATAN SANDARAN SECARA SEWA MILIK UNTUK JABATAN KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN (JKPTG T03/2024)
PERKHIDMATAN SERAH URUS BAGI PENGURUSAN FAIL TERMASUK PENYEWAAN TEMPAT, PERKHIDMATAN PENGURUSAN,MENYELENGGARA DAN MENYIMPAN REKOD DAN FAIL SERTA PERKHIDMATAN PENGESANAN SEMULA (RETRIEVAL) UNTUK JABATAN KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN (SH02/2023)