Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian

Menu

Penyewa Tanah Persekutuan

Anda di sini

Kerajaan Persekutuan melalui Pesuruhjaya Tanah Persekutuan boleh memberi sewaan tanah-tanah Persekutuan melalui kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 4 Akta Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dan Seksyen 223 Kanun Tanah Negara (KTN) tidak melebihi 3 tahun dan melalui peruntukan tertentu dalam Ordinan Tanah Sabah dan Kanun Tanah Sarawak secara menandatangani perjanjian sewaan dengan pihak penyewa. Perjanjian sewa tidak perlu didaftarkan dalam hakmilik tanah kecuali bagi perjanjian sewaan di Negeri Sabah dan Sarawak perlu didaftarkan dalam hakmilik tanah.
 
Sewaan tanah Persekutuan ini adalah untuk tempoh di antara satu (1) hingga tiga (3) tahun. Selaku Tuan Tanah dan Pegawai Pengawal tanah rizab Persekutuan, Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) melalui Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) akan memproses permohonan penyewaan setelah mendapat ulasan daripada KJP dan KJP perlu mengemukakan ulasan dengan kadar segera. Perjanjian penyewaan perlu ditandatangani oleh PTP dengan penyewa. Untuk membolehkan urusan penyewaan ini dijalankan dengan lebih telus. Dua (2) Jawatankuasa telah ditubuhkan iaitu:

 
  1. Jawatankuasa Penyewaan Tanah Persekutuan Yang Terletak Di Luar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur;
Jawatankuasa secara pentadbiran ini ditubuhkan sejak  tahun 2000 lagi dengan keanggotaannya seperti berikut:
 

Pengerusi : Pesuruhjaya Tanah Persekutuan
Ahli : TKPTG (P);
Pengarah Seksyen Harta Tanah Persekutuan, JKPTG
Urusetia : Seksyen Penguatkuasa Dan Hasil Persekutuan (SPHP)
 
  1. Jawatankuasa Penyewaan Tanah Persekutuan Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur;
Jemaah Menteri di dalam mesyuaratnya pada 14 Jun 2006 telah mengarahkan supaya ditubuhkan Jawatankuasa di atas dengan keahliannya terdiri daripada:
 

Pengerusi : Pesuruhjaya Tanah Persekutuan
Ahli : Kementerian Kewangan;

Kementerian Wilayah Persekutuan;
Kementerian /Jabatan Pengguna ;
Bahagian Pengurusan Hartanah, Jabatan Perdana Menteri;
Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan KualaLumpur;
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur;
Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).
Urusetia : JKPTG (SPHP)

 

Permohonan bagi menyewa Harta Tanah Persekutuan hanyalah bagi maksud-maksud berikut :

  • Menjalankan aktiviti pertanian atau perniagaan;
  • Mengeluarkan hasil pertanian, contohnya susu getah, buah kelapa sawit dan sebagainya;
  • Penyewaan ruang premis / bangunan Kerajaan Persekutuan;
  • Mengeluarkan bahan batuan; dan
  • Mengeluarkan bahan kayuan contohnya pokok getah, kayu balak dan sebagainya.

 

Sewaan ruang bangunan Persekutuan pula adalah untuk tempoh di antara satu (1) hingga tiga (3) tahun.Kementerian / Jabatan Pengguna (KJP) yang mengawal bangunan Persekutuan yang berkenaan boleh mengurus, memproses dan meluluskan permohonan sewaan ruang bangunan yang dikawalnya. Setelah kelulusan diberi, KJP perlu mengemukakan perkara-perkara berikut ke JKPTG (SPHP):

  • surat kelulusan Kementerian / Jabatan Pengguna (KJP);
  • perjanjian sewaan yang telah ditandatangai oleh penyewa; dan laporan penilaian JPPH;
 

PTP selaku Tuan Tanah bagi tanah berimilik dan Pegawai Pengawal bagi tanah rizab Persekutuan, maka hanya PTP yang boleh menandatangani Perjanjian Sewaan Ruang Bangunan berkenaan.

 
Tatacara Permohonan Sewaan Tanah Persekutuan
Permohonan penyewaan tanah Persekutuan boleh dikemukakan secara bertulis terus kepada JKPTG. Setiap permohonan yang diterima akan diproses menurut "Standard Operating Prosedur' (SOP) JKPTG sebagaimana Carta Aliran Permohonan Sewaan Tanah Persekutuan. Satu Perjanjian Sewaan Tanah akan ditandatangani antara pemohon yang berjaya dengan PTP. Bayaran bulanan sewaan tanah persekutuan boleh dibuat secara online di laman web JKPTG http://www.kptg.gov.my/
 

Pihak yang layak memohon

  • Badan berkanun / koperasi;
  • Perbadanan / syarikat tempatan yang majoriti syernya milik warganegara Malaysia;
  • Badan dan organisasi yang berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1960;
  • Individu;
  • Tiada halangan dari segi undang-undang seperti diisytiharkan muflis dan sebagainya.

 

 

Tatacara Permohonan

Semua permohonan hendaklah mengandungi perkara-perkara berikut:

 

Status dan maklumat lengkap tanah yang dipohon sewaan sebagaimana berikut:

  • No. Lot/no. Bangunan
  • No. Hakmilik/no. Warta perizaban
  • Mukim/pekan/bandar
  • Daerah
  • Negeri
  • Salinan hakmilik
  • Carian rasmi terkini
  • Pelan lokasi/pelan tapak

 

Jika permohonan dari syarikat, kemukakan:
  • Salinan sijil pendaftaran syarikat
  • Salinan artikal MAA
  • Salinan borang  24 dan 29

 

 

 Semua permohonan hendaklah dikemukakan kepada JKPTG di alamat berikut:

JABATAN KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN
(Bahagian Harta Tanah Persekutuan)
Aras 2, Blok Podium,
Lot 4G3, Presint 4,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62574 PUTRAJAYA
No. Tel. : 03-88712000