header bm

soalan lazim2| hubungi kami2| aduan2| petalaman3

LOGO Jata

search
search

Panduan SOP : Pengambilan Tanah
 
Prosedur Mendapatkan Tanah
Dalam hal pengambilan mana-mana tanah untuk kegunaan kementerian / jabatan persekutuan (tidak termasuk badan-badan berkanun persekutuan yang boleh memiliki tanah di atas nama mereka sendiri), prosedur berikut hendaklah dipatuhi sepenuhnya.
 
1. Pemilihan Tanah
Dua tahun sebelum tarikh satu-satu tanah itu dikehendaki, kementerian / jabatan yang berkehendakkan tanah itu hendaklah terlebih dahulu menentukan tapak yang diperlukannya. Penentuan ini hendaklah dibuat dengan cara rundingan diantara kementerian / jabatan yang memerlukan tanah itu dengan pegawai daerah/pentadbir tanah (PT) yang berkenaan. Rundingan ini perlu dibuat melalui jawatankuasa pemilihan tapak daerah dan hendaklah mengambil kira mengenai kesesuaian tanah / tapak dari segi kedudukannya, penggunaan, harga dan peruntukan wang yang mencukupi bagi projek yang hendak dilaksanakan itu.
 
Di peringkat ini masalah-masalah sosial dan ekonomi yang mungkin timbul berikutan dari pengambilan itu perlu diberi perhatian. Tanah yang ada setinggan umpamanya, perlu dielakkan. Untuk mengambil tanah bagi melaksanakan projek-projek baru, pihak kementerian / jabatan hendaklah terlebih dahulu mendapatkan pandangan daripada pihak berkuasa tempatan dan jabatan-jabatan teknikal lainnya. Walau bagaimanapun pandangan dari jabatan teknikal tidak diperlukan sekiranya pengambilan itu melibatkan pembesaran projek yang sedia ada seperti melebarkan jalan dan sebagainya. Pihak kementerian / jabatan juga hendaklah menentukan sama ada pemberitahuan di bawah seksyen 4, akta pengambilan tanah (APT) 1960 diperlukan atau tidak.
 
Keputusan muktamad berhubung dengan pemilihan tapak hendaklah dibuat sekurang-kurangnya 6 bulan dari tarikh tanah itu hendak diambil. Walau bagaimanapun sekiranya pemberitahuan di bawah Seksyen 4, APT 1960 diperlukan, maka Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) hendaklah diberitahu lebih awal daripada tarikh 6 bulan tanah itu dikehendaki.
 
2. Permohonan Rasmi
Setelah keputusan muktamad mengenai pemilihan tapak dibuat, kementerian / jabatan yang berkenaan hendaklah menulis kepada PTP supaya permohonan rasmi bagi pihaknya dikemukakan kepada PBN yang berkenaan. Bentuk surat yang perlu disampaikan kepada PTP adalah seperti di halaman A.
 
Surat permohonan kepada PTP itu hendaklah disertakan bersama dengannya pelan-pelan dan dokumen-dokumen yang berkaitan seperti berikut:-

  • 25 keping pelan pengambilan menggunakan skil yang sama seperti yang terdapat pada pejabat tanah berkenan.
  • Sempadan lot-lot yang dipohon hendaklah diwarnakan merah.
  • PTP setelah menerima permohonan daripada kementerian / jabatan, akan mengemukakan permohonan rasmi kepada PBN melalui Pengarah Tanah dan Galian Negeri (PTG) dengan menggunakan borang permohonan khas dengan menghantar salinan-salinan kepada yang berkenaan.

 
3. Memproses Permohonan
Apabila PT menerima salinan permohonan rasmi daripada PTP beliau hendaklah mengambil tindakan untuk memproses permohonan termasuk dengan menyediakan kertas ringkasan untuk pertimbangan PBN. Kertas ringkasan tersebut di antara lain hendaklah mengandungi maklumat-maklumat berikut:-

  • Pewartaan di bawah seksyen 4, jika kajian mengenai kesesuaian tapak perlu dibuat;
  • Pewartaan di bawah seksyen 8;
  • Pengambilan menerusi perakuan segera di bawah seksyen 19, jika dipohon sedemikian; dan
  • Pendudukan sementara di bawah Bahagian vii APT 1960 jika diperlukan.

 
Apabila kelulusan PBN diperolehi, PTG diminta memberikan keutamaan supaya pengisytiharan dalam warta kerajaan dibuat dengan secepat mungkin. Ini perlu kerana tindakan pewartaan itu lazimnya mengambil masa yang agak lama dan tindakan selanjutnya tidak dapat disegerakan.
 
4. Penaksiran Harga Tanah
Semasa proses pengisytiharan warta di bawah Seksyen 8 dibuat, PT diminta menghubungi Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta Negeri yang berkenaan bagi mendapatkan nilaian tanah tanpa menunggu warta itu disiarkan. Ini bagi mengelakkan kelewatan.
 
Untuk tujuan mendapatkan penaksiran tanah dari jabatan penilaian dan perkhidmatan harta, borang seperti di halaman B hendaklah digunakan.
 
 
5. Siasatan Dan Pembayaran Pampasan
PT hendaklah mengambil perhatian bahawa salinan borang E dan di mana perlu, borang F, hendaklah disampaikan juga kepada kementerian/jabatan yang berkenaan. Di bawah seksyen 55(2), wakil kementerian/jabatan tersebut bolehlah hadir untuk memberi keterangan pada hari siasatan tersebut dengan mengemukakan surat pengesahan yang ditandatangani oleh setiausaha kerajaan negeri. Satu salinan borang E hendaklah juga dihantar kepada PTP untuk maklumannya.
 
Orang yang berkepentingan atau wakil mereka, bolehlah hadir pada hari siasatan dijalankan. Apabila siasatan itu selesai dibuat PT hendaklah memberikan perintah bertulisnya dalam borang G dan mengeluarkan borang H kepada orang yang berkepentingan. Salinan borang G dan H hendaklah juga disampaikan kepada kementerian/jabatan yang berkenaan. Dalam apa juga keadaan sekalipun PT hendaklah memberikan perintah bertulisnya dalam tempoh 2 tahun dari tarikh warta borang D. Kegagalan berbuat demikian akan mengakibatkan tempoh borang D itu luput dan kesannya prosiding pengambilan terbatal.
 
Setelah menerima salinan borang H, kementerian/jabatan yang berkenaan hendaklah membuat bayaran pampasan dengan segera dalam tempuh 3 bulan. Jika mengikut seksyen 29a apt award melebihi RM 15,000 bagi mana-mana tanah yang terjadual, maka 25% pampasan tersebut di tahan selama 6 minggu iaitu tempuh kementerian/jabatan membuat rayuan di bawah seksyen 37(3) apt 1960. Jika tiada rayuan dibuat, baki pampasan 25% hendaklah dibayar beserta faedah 8% dari tarikh bayaran yang pertama. Adalah dicadangkan supaya kementerian/jabatan membayar keseluruhan pampasan jika tidak bercadang membuat rayuan/bantahan terhadap award PT.
 
Dalam keadaan-keadaan yang dinyatakan pada seksyen 29(1), apt 1960, maka wang tersebut hendaklah didepositkan di mahkamah atau dalam keadaan di mana orang yang berkepentingan itu meninggal dunia tanpa wasiat, disimpan di pejabat pegawai pentadbir pusaka malaysia dengan segera bagi mengelakkan pembayaran faedah 8% setahun. (Lihat pekeliling Ketua Pengarah Tanah dan Galian bil. 1/1992). Kementerian/jabatan hendaklah memaklumkan kepada PTP tarikh bayaran pampasan dibuat.
 
6. Rujukan Ke Mahkamah
Di atas sebab-sebab yang disebutkan di bawah seksyen 37 akta pengambilan tanah 1960, mana-mana orang yang berkepentingan atau pihak yang bagi pihaknya tanah itu diambil boleh melalui PT membuat rujukan ke mahkamah. Perhatian pihak yang berkenaan adalah ditarik kepada seksyen 38 yang menentukan cara dan jangkamasa sesuatu rujukan itu boleh dibuat. Di antara syarat rujukan yang mesti dipatuhi ialah menjelaskan wang deposit sebanyak yang diminta dalam tempoh 30 hari dari tarikh menerima surat PT.
 

any_module

Pilihan Bahasa:

Bahasa Lain:
Klik di sini

article
any_module

Saiz Tulisan :

A- A A+

Warna Tema : 
color green  color red  color blue