LESEN MENDAPATKAN PASIR DASAR LAUT
DI BAWAH AKTA PELANTAR BENUA 1966

Sebarang aktiviti menjelajah, mencari gali, menggerek, melombong dan menjalankan operasi pasir dasar laut perlu mendapatkan kelulusan lesen di bawah Akta Pelantar Benua 1966 (APB 1966).

Kawasan pelantar benua yang boleh dipohon adalah seperti berikut:

  • 3 batu nautika dari perairan laut wilayah negeri.

  • Tidak lebih 200 batu nautika dari garis pangkal yang darinya perairan laut wilayah diukur.

Syarat pemohon adalah seperti berikut:

  • Syarikat Sendirian Berhad

  • Modal berbayar lebih daripada RM100,000.00

  • Mempunyai surat tawaran/ surat niat pembelian pasir/ perjanjian jual beli pasir

Kategori permohonan Lesen Mendapatkan Pasir Dasar Laut Di Bawah Akta Pelantar Benua 1966 adalah seperti berikut:

  • Permohonan lesen mendapatkan pasir dasar laut (LDPL).

  • Permohonan lesen melombong atau menjalankan apa-apa operasi bagi galian selain pasir (LLSP).

  • Permohonan pembaharuan lesen (PLB).

  • Permohonan Kebenaran Beroperasi bagi lesen (LKOP).

  • Permohonan Lesen untuk Menjelajah/ Mencari Gali/Menggerek Berkaitan Dengan Mencari Gali Selain Pasir (LGSP).

  • Penamatan Tempoh Lesen (LTT).

Tatacara Permohonan Lesen Mendapatkan Pasir Dasar Laut Di Bawah Akta Pelantar Benua 1966

  1. Semua permohonan untuk mendapatkan lesen Pasir Dasar Laut di bawah Akta Pelantar Benua 1966 [Akta 83] perlu dikemukakan secara dalam talian melalui Sistem Pengurusan Tanah Persekutuan dan Pembahagian Pusaka (MyLand) melalui pautan https://myland.gov.my/ dengan disertakan dokumen yang lengkap.
  2. Dokumen yang diperlukan untuk dimuat naik dalam system MyLand :-

    • Surat permohonan rasmi daripada pemohon;
    • Borang 1 Jadual Pertama yang telah lengkap diisi;
    • Pelan kawasan yang dipohon dalam bentuk hardcopy dan softcopy serta koordinatnya dalam World Geodetic System 1984 (WGS84)
    • Memorandum & Articles of Association (sekiranya ada);
    • Borang 49 Akta Syarikat 1965/Seksyen 58 Akta Syarikat 2016;
    • Borang 24 Akta Syarikat 1965/Seksyen 78 Akta Syarikat 2016;
    • Penyata kewangan beraudit syarikat bagi tahun terkini(bagi syarikat berhad);
    • Penyata bank tiga (3) bulan terkini yang disahkan benar (bagi permohonan daripada individu/syarikat milikan tunggal);
    • Surat tawaran membekal pasir atau memorandum persefahaman atau dokumen perjanjian dengan syarikat yang akan membeli atau menggunakan pasir; dan
    • Bank Draf Fi Permohonan. Bayaran fi permohonan sebanyak RM3,000.00 (Ringgit Malaysia Tiga Ribu Sahaja) boleh dihantar secara serahan tangan atau dialamatkan kepada:

    Pesuruhjaya Tanah Persekutuan
    Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan
    Aras 2, Menara PETRA, Wisma Sumber Asli
    No 25, Persiaran Perdana, Presint 4
    62574 PUTRAJAYA
    (u.p.: Bahagian Pengurusan Tanah Persekutuan)

Pertimbangan Dasar

Tempoh pertimbangan dasar yang diberikan adalah enam (6) bulan dari tarikh surat pertimbangan dasar dikeluarkan dan dalam tempoh tersebut, pemohon dikehendaki:

  • Menjalankan Kajian Kuantiti dan Kualiti Sumber Pasir Laut dan diluluskan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG);

  • Menjalankan Kajian Hidraulik dan diluluskan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS);

  • Menjalankan Kajian Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling [Environmental Impact Assessment (EIA)] dan diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS); dan

  • Menjalankan Pengukuran Hidrografi (Pre Dredge Survey) dan diluluskan oleh Pusat Hidrografi Nasional (PHN)

Sekiranya pemohon gagal menyempurnakan kajian dan pengukuran dalam tempoh yang ditetapkan, pemohon boleh mengemukakan permohonan pelanjutan pertimbangan dasar bagi memenuhi syarat-syarat pertimbangan dasar yang ditetapkan dalam tempoh satu (1) bulan sebelum tamat.

Pesuruhjaya Tanah Persekutuan boleh mengesyorkan kepada YB Menteri Tenaga dan Sumber Asli untuk melanjutkan tempoh pertimbangan dasar bagi tempoh sehingga enam (6) bulan sahaja dengan syarat pemohon mengemukakan bukti bahawa kajian-kajian yang disyaratkan dalam pertimbangan dasar yang diluluskan tersebut sedang dilaksanakan

Bayaran dan Kelulusan Lesen

Setelah semua kajian di para 6 selesai dijalankan dan mendapat kelulusan daripada Jabatan/ Agensi Teknikal yang berkaitan, pemohon perlu mengemukakan bayaran-bayaran seperti berikut sebelum pengeluaran lesen:

  • Bayaran fi lesen pada kadar RM1,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Ribu Sahaja) bagi setiap 2.59 km persegi atau sebahagian daripada kawasan yang diluluskan kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dalam bentuk bank draf;

  • Bayaran wang cagaran berjumlah RM100,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Ratus Ribu Sahaja) sebagai pematuhan terhadap syarat-syarat lesen kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dalam bentuk bank draf; dan

  • Bayaran wang cagaran berjumlah RM100,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Ratus Ribu Sahaja) untuk kebajikan nelayan kepada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dalam bentuk bank draf.

Permohonan Kebenaran Beroperasi

Pelesen hendaklah dalam tempoh 14 hari sebelum memulakan operasi pengorekan pasir laut di kawasan yang diluluskan, mengemukakan maklumat berkenaan cadangan beroperasi menggunakan Borang A (Cadangan Menjalankan Operasi Mendapatkan Pasir Dasar Laut di Bawah Akta Pelantar Benua 1966) berserta dokumen sokongan berkaitan kepada JKPTG untuk kelulusan; dan

Sekiranya pelesen telah mula beroperasi mendapatkan pasir dasar laut, kadar royalti yang ditetapkan adalah RM1.00 bagi setiap meter padu pasir yang dikeluarkan untuk kegunaan tempatan, dan RM4.50 bagi setiap meter padu pasir yang dikeluarkan untuk tujuan eksport ke luar negara.

Bayaran hendaklah dikemukakan dalam bentuk bank draf atas nama Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dalam tempoh 14 hari dalam bulan berikutnya dengan menggunakan Borang B (Laporan Pengeluaran Pasir Laut Di Bawah Seksyen 4, Akta Pelantar Benua 1966) berserta dokumen sokongan iaitu Borang Kastam No. 2 (K2) / Borang Kastam No. 3 (K3) daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan dokumen yang berkaitan.

Tarikh kemas kini: