Latar belakang Penubuhan Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian Persekutuan
Pejabat Pesuruhjaya Tanah dan Galian (Commissioner of Lands and Mines) ditubuhkan pada tahun 1896 selepas penggabungan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan) melalui Perjanjian Persekutuan 1895 dengan Sir Henry Conway Belfield dilantik sebagai Pesuruhjaya Tanah dan Galian yang pertama pada 27 Julai 1896. Pemegang jawatan ini memikul tanggungjawab untuk menggubal dasar dan menguatkuasakan perundangan tanah di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Namun begitu, pada Mei 1934, jawatan ini pernah cuba dimansuhkan yang mana fungsi jawatan tersebut ingin diambil alih oleh Resident dan Penasihat Undang-undang Negeri.
Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 telah menstrukturkan semula pentadbiran tanah di negara ini apabila tanah ditetapkan sebagai bidang kuasa Kerajaan Negeri dan mengubah peranan Pesuruhjaya Tanah dan Galian kepada penasihat dasar, penyelaras perundangan dan perantara antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan Ordinan Ketua Setiausaha (Diperbadankan) 1949 yang membolehkan Ketua Setiausaha sebagai sebuah Perbadanan Tunggal memegang dan menguruskan tanah Kerajaan Persekutuan.
Fungsi Ketua Setiausaha (yang disandang oleh Pegawai British sebelum kemerdekaan) adalah untuk menjaga kewangan dan memegang tanah-tanah Persekutuan. Namun menuju kemerdekaan, jawatan yang disandang oleh pegawai-pegawai British dikurangkan dari semasa ke semasa. Pada tahun 1949, melalui Chief Secretary Incorporation Ordinance 1949, jawatan ini dimansuhkan dan fungsinya telah diasingkan kepada dua iaitu Pengawal Kewangan Persekutuan (yang disandang oleh Kementerian Kewangan kini) serta kuasa untuk mengawal tanah Persekutuan yang diserahkan kepada Pesuruhjaya Tanah pada masa itu. Melalui Ordinan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan 1957, fungsi mengawal tanah Persekutuan telah diletakkan kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.
Pejabat Pesuruhjaya Tanah Persekutuan ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1957 selepas Majlis Perundangan Persekutuan meluluskan Ordinan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan 1957 yang kini dikenali sebagai Akta Pesuruhjaya Tanah Persekutuan 1957 [Akta 349] yang membolehkan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan memegang dan menguruskan tanah Kerajaan Persekutuan.
Pejabat ini telah dijenamakan semula sebagai Pejabat Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan pada tahun 1970 selepas penstrukturan semula jentera pentadbiran Kerajaan Persekutuan melalui Warta Persekutuan P.U.(B) 324/1970 dan P.U.(B) 478/1989 yang telah memperkenalkan nama Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dan akhir sekali Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan yang menjalankan kuasa di bawah Seksyen 8 Kanun Tanah Negara [Akta 828] selain turut menjalankan fungsi-fungsi Pesuruhjaya Tanah Persekutuan di bawah Akta 349.
Pejabat ini kemudiannya telah dinamakan sebagai Jabatan Tanah dan Galian Persekutuan dari tahun 1978 hingga 1981. Bermula dari tahun 1982 hingga 1988, tadbir urus dan operasi pejabat ini diteruskan di bawah Kementerian Kemajuan Tanah dan Kemajuan Wilayah melalui Bahagian Pentadbiran dan Pengurusan Tanah sebelum dinamakan semula sebagai Bahagian Pengurusan dan Perundangan Tanah dari tahun 1989 hingga 1991.
Pejabat ini seterusnya dijenamakan sebagai Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan bermula pada 1 Januari 1992 hingga kini.
Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian adalah salah satu Jabatan dalam organisasi Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar. Semenjak tahun 1957, Jabatan ini telah dipindahkan beberapa kali daripada pelbagai Kementerian merangkumi berikut:-
Kementerian
-
2004 – 2018
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE)
-
2018 – 2020
Kementerian Tanah, Air dan Sumber Asli (KATS)
-
2020 – 2022
Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA)
-
2022 – 2023
Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC)
-
Dis 2023 – Kini
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES)
Jabatan
-
1957 - 1970
Pejabat Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (Office of the Federal Commissioner of Lands)
-
1970
Pejabat Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (Office of the Director General of Lands and Mines (Federal))
-
1 Jan 1978
Jabatan Tanah dan Galian Persekutuan
-
1 Jan 1982
Bahagian Pentadbiran dan Pengurusan Tanah (di bawah Integrasi dalam Kementerian Kemajuan Tanah dan Kemajuan Wilayah)
-
1 Jan 1989
Bahagian Pengurusan dan Perundangan Tanah
-
1 Jan 1992
Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan
Senarai Nama Ketua Pengarah Tanah Dan Galian Persekutuan
Senarai Nama Ketua Pengarah Tanah Dan Galian Persekutuan (Ketua Pengarah Tanah dan Galian juga dahulunya dikenali sebagai Pesuruhjaya Tanah Negeri-Negeri Tanah Melayu dari tahun 1952 sehingga sekarang)
- H.A.L. Luckham 10.11.1952 – 1959
- Dato’ Abdullah bin Ibrahim 1960
- Tn. Haji Abdul Rahman bin Mohd. Salleh 01.08.1963 - 31.08.1969
- Dato’ Abdul Manaf bin Mohd. Noor 01.09.1969 - 31.12.1977
- Tan Sri Nasaruddin bin Haji Bahari 01.01.1978 - 15.11.1983
- Tn. Haji Harun bin Baba 01.03.1988 - 31.05.1991
- Azmeer bin Rashid 01.06.1991 - 02.06.1992
- Dr. Nik Mohd. Zain bin Haji Nik Yusof 06.06.1992 - 15.01.1995
- Dato’ Wan Abd. Wahid bin Haji Wan Hassan 16.03.1995 - 16.12.1999
- Dato’ Haji Mohd. Esa bin Shariff 17.12.1999 - 26.08.2001
- Dato’ Yidris bin Abdullah 27.08.2001 - 15.12.2002
- Dato’ Ismail bin Dollah Harun 01.03.2003 - 14.01.2005
- Dato’ Radzi bin Yusof 14.01.2005 – 2006
- Dato’ Zoal Azha bin Yusof 01.08.2006 - 25.06.2008
- Dato’ Abd Halim bin Ain 26.06.2008 – 19.10.2010
- Dato’ Azemi bin Kasim 19.10.2010 – 20.09.2015
- Dato’ Dr. Sallehuddin Bin Ishak 21.09.2015 – 04.01.2019
- Dato’ Haji Ahmad Zaharin bin Mohd Saad 05.01.2019 - 08.11.2021
- Datuk Muhammad Azmi bin Mohd Zain 15.12.2021 - 18.02.2026
- Dato’ Hj. Mohd Fauzi bin Hj. Mohd Yatim 19.02.2026 - sekarang