Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 [Akta 98]

SIAPAKAH YANG BOLEH MEMBUAT PERMOHONAN?

Permohonan pembahagian harta pusaka kecil boleh dibuat oleh mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan terhadap harta pusaka si mati, iaitu:

Waris si mati
Pembeli yang mempunyai kepentingan terhadap harta pusaka
Pemegang gadaian
Pemiutang
Pengkaveat
Amanah Raya Berhad
Majlis Agama Islam Negeri Tertakluk kepada pindaan Enakmen Syariah negeri masing-masing

DI MANAKAH PERMOHONAN BOLEH DIBUAT?

Permohonan pembahagian harta pusaka kecil hendaklah dikemukakan kepada Pejabat Pembahagian Pusaka Negeri yang mempunyai bidang kuasa di tempat harta tak alih si mati berada. Sekiranya si mati hanya memiliki harta alih sahaja, permohonan hendaklah dikemukakan kepada Pejabat Pembahagian Pusaka Negeri yang mempunyai bidang kuasa di tempat harta alih si mati berada.

Sekiranya harta pusaka si mati terletak di lebih daripada satu daerah atau negeri, permohonan boleh dikemukakan di mana-mana Pejabat Pembahagian Pusaka yang mempunyai bidang kuasa ke atas salah satu harta tak alih tersebut, tertakluk kepada peruntukan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 [Akta 98].

Penting: Penentuan Pejabat Pembahagian Pusaka adalah berdasarkan lokasi harta tak alih si mati, dan bukannya alamat pemohon atau tempat kematian si mati.

Seksyen 8, Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 [Akta 98]

Permohonan baharu dibuat bagi mendapatkan pembahagian harta pusaka seseorang si mati buat kali pertama.

Permohonan hendaklah dibuat melalui Borang A secara dalam talian menerusi portal www.myland.gov.my.

Dokumen yang perlu dimuat naik:

  • Petisyen di bawah Seksyen 8 (Borang A) yang lengkap diisi dan ditandatangani di hadapan Majistret atau Pesuruhjaya Sumpah.
  • Salinan Sijil Kematian si mati.
  • Salinan Kad Pengenalan pemohon.
  • Salinan Sijil Perkahwinan, Surat Perakuan Nikah atau Daftar Perkahwinan si mati.
  • Salinan hak milik (geran).
  • Salinan Carian Rasmi daripada Pejabat Tanah atau Pejabat Tanah dan Galian (PTG).
  • Salinan bil atau resit Cukai Taksiran (Cukai Pintu) bagi harta tak alih yang melibatkan rumah atau bangunan.
  • Salinan dokumen pemilikan harta alih seperti penyata akaun simpanan, penyata ASNB, sijil saham, polisi insurans, hak milik kenderaan atau dokumen berkaitan.

Seksyen 17, Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 [Akta 98]

Permohonan Berikutnya merupakan permohonan yang dibuat selepas permohonan awal diselesaikan. Ia boleh dibuat dalam keadaan berikut:

  • Ada harta yang tertinggal atau tidak diisytiharkan dalam permohonan awal.
  • Perlu melantik Pemegang Amanah yang baharu.
  • Perlu melantik Pentadbir yang baharu.
  • Membatalkan Perintah Pemberian Surat Kuasa Mentadbir dan memohon supaya pembahagian dibuat terus kepada waris si mati.
  • Membatalkan pelantikan Pemegang Amanah dan memohon supaya harta diturunmilik kepada waris si mati.
  • Menarik balik Kaveat Pendaftar yang dimasukkan oleh Pejabat Pembahagian Pusaka (PPP).

Permohonan Berikutnya hendaklah dibuat menggunakan Borang P secara dalam talian melalui portal www.myland.gov.my.

FI PERINTAH PEMBAHAGIAN

Fi Perintah Pembahagian dikenakan berdasarkan nilai keseluruhan harta pusaka seperti berikut:

Nilai Harta PusakaKadar Fi
Kurang daripada RM2,000,0000.2% daripada nilai harta
Melebihi RM2,000,000 sehingga RM5,000,0000.3% daripada nilai harta

Bagi Permohonan Berikutnya di bawah Seksyen 17 yang melibatkan harta tertinggal, fi Perintah Pembahagian dikenakan pada kadar 0.3% daripada nilai harta yang dipohon.

Bagi Permohonan Berikutnya di bawah Seksyen 17 yang melibatkan Pembatalan Pentadbir / Pembatalan Pemegang Amanah, fi adalah sebanyak RM50.

PERBICARAAN

Semua permohonan yang lengkap akan diproses oleh Pejabat Pembahagian Pusaka yang berkenaan sebelum satu tarikh perbicaraan ditetapkan.

Semua pihak yang dinamakan dalam Notis Perbicaraan hendaklah hadir pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan.

Sekiranya mana-mana waris tidak dapat hadir, mereka boleh mengemukakan Borang Persetujuan (Borang DDA) yang telah ditandatangani di hadapan Pesuruhjaya Sumpah.

Bagi si mati yang beragama Islam

Pembahagian harta pusaka dibuat mengikut Hukum Syarak (Faraid).

Bagi si mati yang bukan beragama Islam

Pembahagian dibuat berdasarkan Akta Pembahagian 1958 [Akta 300].

Pembahagian Secara Muafakat

Pembahagian secara persetujuan bersama hanya boleh dilaksanakan sekiranya semua waris yang berhak mewarisi harta pusaka si mati bersetuju sepenuhnya.

PERINTAH PEMBAHAGIAN / SURAT KUASA MENTADBIR

Perintah Pembahagian atau Surat Kuasa Mentadbir akan dikeluarkan dalam tempoh 30 hari selepas perbicaraan selesai.

Harta Tak Alih

Salinan Perintah Pembahagian hendaklah dikemukakan kepada Pejabat Tanah atau Pejabat Tanah dan Galian (PTG) yang berkaitan bagi tujuan pendaftaran hak milik.

Harta Alih

Salinan Perintah Pembahagian hendaklah dikemukakan kepada agensi atau institusi yang menguruskan harta tersebut bagi tujuan pelaksanaan pembahagian.

Tarikh kemas kini: