Informasi Enakmen Rizab Melayu

Latar belakang Enakmen Rizab Melayu

Undang-undang Tanah Rizab Melayu (selepas ini ERM) mula diperkenalkan pada 1 Januari 1914 apabila Enakmen Rizab Melayu 1913 (ERM 1913) dikuatkuasakan di negeri-negeri yang dahulunya dikenali dengan nama Negeri-negeri Melayu Bersekutu (NMB) iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Enakmen Rizab Melayu 1913 ini telah dimansuhkan mulai daripada 15.12.1933 dan digantikan dengan ERM 1933.

Pada tahun 1935 ERM 1933 ini telah disemak dan diterbitkan semula sebagai ERM (NMB Bab 142) dan digunakan hingga ke hari ini.

Negeri-negeri lain kemudiannya turut mengwujudkan ERM mereka masing-masing iaitu:

  • ERM Kelantan 1930
  • ERM Kedah 1931
  • ERM Perlis 1935
  • ERM Johor 1936
  • ERM Terengganu 1941

British tidak mengadakan apa-apa ERM di Pulau Pinang, Singapura dan Melaka.

Objektif Rizab Melayu

Terdapat dua objektif utama:

  • Menyekat tanah kerajaan di dalam kawasan Rizab Melayu daripada dilupuskan dengan apa cara juapun kepada bukan Melayu.

  • Menyekat tanah Pegangan Melayu atau tanah Rizab Melayu daripada dibuat apa-apa urus niaga persendirian (private dealings) di antara Melayu dan bukan Melayu.

Matlamat

Dengan dua objektif itu adalah diharapkan tanah-tanah kepunyaan Melayu akan berkekalan dikuasai oleh orang Melayu sepanjang zaman.

Pengisytiharan

Kuasa Pengisytiharan

Di Negeri-negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang di mana ERM (NMB Bab 142) dipakai, kuasa untuk membuat pengisytiharan terletak pada Menteri Besar dengan kelulusan Raja Dalam Mesyuarat (RDM). Di Johor, PTG dengan kelulusan RDM manakala di lain-lain negeri, RDM.

Tujuan Pengisytiharan

  • Untuk mewujudkan satu kawasan Rizab Melayu.

  • Untuk membatalkan kawasan Rizab Melayu.

  • Untuk meminda had atau sempadan mana-mana Rizab Melayu.

Tanah yang boleh diisytiharkan sebagai Rizab Melayu

  • Tanah Kerajaan
  • Tanah Hutan Simpan
  • Tanah Rizab Awam
  • Tanah Milik

Syarat-syarat Pengisytiharan

  • Tanah yang belum dimajukan (not developed) atau dicucuk tanam (cultivated) sahaja yang boleh diisytiharkan sebagai kawasan Rizab Melayu. 

    [Perkara 89(2) Perlembagaan Persekutuan]

  • Jika 100 hektar tanah kawasan baru diisytiharkan, satu kawasan lain yang belum dimajukan atau dicucuk tanam seluas 100 hektar juga hendaklah disediakan untuk diberimilik kepada orang ramai termasuk Melayu. 

    [Perkara 89(2) Perlembagaan Persekutuan]

  • Jika mana-mana kawasan Rizab Melayu itu dibatalkan sama ada keseluruhan atau sebahagian daripadanya sahaja, satu kawasan lain di dalam negeri itu yang sama jenis (similar in character) dan sama luasnya dengan kawasan yang dibatalkan itu hendaklah serta-merta diisytiharkan sebagai ganti. Tanpa gantian, pembatalan itu adalah tidak sah. 

    [Rujuk Perkara 89(3) Perlembagaan Persekutuan]

  • Mana-mana tanah yang dimiliki atau diduduki oleh orang bukan Melayu, atau orang bukan Melayu mempunyai hak atau kepentingan, tidak boleh diisytiharkan sebagai Rizab Melayu. 

    [Rujuk Perkara 89(4) Perlembagaan Persekutuan]

  • Bagi maksud Enakmen Rizab Melayu Kedah, tanah bandar atau tanah yang termasuk dalam kawasan “Sanitary Board” tidak boleh diisytiharkan sebagai Rizab Melayu. 

    [Sek. 3(1) ERM Kedah]

  • Di bawah Enakmen Rizab Melayu Terengganu pula hanya tanah bandar atau tanah pekan sahaja yang boleh diisytiharkan sebagai Rizab Melayu. 

    [Lihat tafsiran (d) ‘Malay Holding’]

Rizab Melayu Kekal Sebagai Rizab Melayu

Mana-mana kawasan yang telah diisytiharkan sebagai Rizab Melayu hendaklah kekal sebagai Rizab Melayu melainkan ia diisytiharkan dan diwartakan sebagai batal oleh pihak yang berkenaan.

Sumber : INSTUN

Tarikh kemas kini: