Informasi Kanun Tanah Negara
Latar belakang Kanun Tanah Negara
Kanun Tanah Negara (KTN) merupakan undang-undang tertinggi di Semenanjung Malaysia mengenai urusan pentadbiran tanah. Ia tidak terpakai di negeri Sabah dan Sarawak. Tiada apa jua dalam Akta ini boleh menyentuh apa-apa pelaksanaan lampau atau apa-apa yang dibuat di bawah mana-mana undang-undang tanah terdahulu, setakat mana ianya mengenai tanah, peruntukan-peruntukan mana-mana undang-undang lain yang diluluskan sebelum bermulanya kuatkuasa Akta ini.
Kecuali setakat mana yang diperuntukan dengan nyata sebaliknya, tiada apa dalam Akta ini boleh menyentuh peruntukan-peruntukan:
Mana-mana undang-undang yang pada masa itu berkuatkuasa mengenai pemegang adat;
Mana-mana undang-undang yang pada masa itu berkuatkuasa mengenai rizab Melayu dan pemegangan Melayu.
Mana-mana undang-undang yang pada masa itu berkuatkuasa mengenai perlombongan.
Mana-mana undang-undang yang pada masa itu berkuatkuasa mengenai tanah kesultanan.
Mana-mana undang-undang yang pada masa itu berkuatkuasa mengenai wakaf dan bait-ul-mal.
Enakmen Penempatan Terengganu, 1356.
Akta Penanam Padi (Mengawal Sewa dan Menjamin Pemegangan), 1967.
Akta Penempatan Tanah Kelantan, 1955.
Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960.
Enakmen Penempatan Tanah Perlis 1960.
Mana-mana undang-undang yang pada masa itu berkuatkuasa mengenai pengecualian dari pembayaran hasil tanah.
Informasi Enakmen Rizab Melayu
Latar belakang Enakmen Rizab Melayu
Undang-undang Tanah Rizab Melayu (selepas ini ERM) mula diperkenalkan pada 1 Januari 1914 apabila Enakmen Rizab Melayu 1913 (ERM 1913) dikuatkuasakan di negeri-negeri yang dahulunya dikenali dengan nama Negeri-negeri Melayu Bersekutu (NMB) iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Enakmen Rizab Melayu 1913 ini telah dimansuhkan mulai daripada 15.12.1933 dan digantikan dengan ERM 1933.
Pada tahun 1935 ERM 1933 ini telah disemak dan diterbitkan semula sebagai ERM (NMB Bab 142) dan digunakan hingga ke hari ini.
Negeri-negeri lain kemudiannya turut mengwujudkan ERM mereka masing-masing iaitu:
- ERM Kelantan 1930
- ERM Kedah 1931
- ERM Perlis 1935
- ERM Johor 1936
- ERM Terengganu 1941
British tidak mengadakan apa-apa ERM di Pulau Pinang, Singapura dan Melaka.
Objektif Rizab Melayu
Terdapat dua objektif utama:
Menyekat tanah kerajaan di dalam kawasan Rizab Melayu daripada dilupuskan dengan apa cara juapun kepada bukan Melayu.
Menyekat tanah Pegangan Melayu atau tanah Rizab Melayu daripada dibuat apa-apa urus niaga persendirian (private dealings) di antara Melayu dan bukan Melayu.
Matlamat
Dengan dua objektif itu adalah diharapkan tanah-tanah kepunyaan Melayu akan berkekalan dikuasai oleh orang Melayu sepanjang zaman.
Pengisytiharan
Kuasa Pengisytiharan
Di Negeri-negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang di mana ERM (NMB Bab 142) dipakai, kuasa untuk membuat pengisytiharan terletak pada Menteri Besar dengan kelulusan Raja Dalam Mesyuarat (RDM). Di Johor, PTG dengan kelulusan RDM manakala di lain-lain negeri, RDM.
Tujuan Pengisytiharan
Untuk mewujudkan satu kawasan Rizab Melayu.
Untuk membatalkan kawasan Rizab Melayu.
Untuk meminda had atau sempadan mana-mana Rizab Melayu.
Tanah yang boleh diisytiharkan sebagai Rizab Melayu
- Tanah Kerajaan
- Tanah Hutan Simpan
- Tanah Rizab Awam
- Tanah Milik
Syarat-syarat Pengisytiharan
Tanah yang belum dimajukan (not developed) atau dicucuk tanam (cultivated) sahaja yang boleh diisytiharkan sebagai kawasan Rizab Melayu.
[Perkara 89(2) Perlembagaan Persekutuan]
Jika 100 hektar tanah kawasan baru diisytiharkan, satu kawasan lain yang belum dimajukan atau dicucuk tanam seluas 100 hektar juga hendaklah disediakan untuk diberimilik kepada orang ramai termasuk Melayu.
[Perkara 89(2) Perlembagaan Persekutuan]
Jika mana-mana kawasan Rizab Melayu itu dibatalkan sama ada keseluruhan atau sebahagian daripadanya sahaja, satu kawasan lain di dalam negeri itu yang sama jenis (similar in character) dan sama luasnya dengan kawasan yang dibatalkan itu hendaklah serta-merta diisytiharkan sebagai ganti. Tanpa gantian, pembatalan itu adalah tidak sah.
[Rujuk Perkara 89(3) Perlembagaan Persekutuan]
Mana-mana tanah yang dimiliki atau diduduki oleh orang bukan Melayu, atau orang bukan Melayu mempunyai hak atau kepentingan, tidak boleh diisytiharkan sebagai Rizab Melayu.
[Rujuk Perkara 89(4) Perlembagaan Persekutuan]
Bagi maksud Enakmen Rizab Melayu Kedah, tanah bandar atau tanah yang termasuk dalam kawasan “Sanitary Board” tidak boleh diisytiharkan sebagai Rizab Melayu.
[Sek. 3(1) ERM Kedah]
Di bawah Enakmen Rizab Melayu Terengganu pula hanya tanah bandar atau tanah pekan sahaja yang boleh diisytiharkan sebagai Rizab Melayu.
[Lihat tafsiran (d) ‘Malay Holding’]
Rizab Melayu Kekal Sebagai Rizab Melayu
Mana-mana kawasan yang telah diisytiharkan sebagai Rizab Melayu hendaklah kekal sebagai Rizab Melayu melainkan ia diisytiharkan dan diwartakan sebagai batal oleh pihak yang berkenaan.
Sumber : INSTUN
Informasi Akta Pemuliharaan Tanah
Akta Pemuliharaan Tanah
Akta Pemuliharaan Tanah 1960 (Akta 385)
Pemakaian
Akta ini hanya terpakai di Negeri-negeri di Malaya (Semenanjung Malaysia) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 95D Perlembagaan Persekutuan, Akta ini tidak terpakai di Negeri Sabah dan Sarawak. Undang-undang Sabah berkaitan pemuliharaan tanah pula terpakai di Wilayah Persekutuan Labuan seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 6(1) Akta Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 1984.
Memandangkan Akta ini berkaitan perkara-perkara yang terletak dalam bidang kuasa perundangan Negeri, selaras dengan Perkara 76(3) Perlembagaan Persekutuan, Akta ini hanya berkuat kuasa di mana-mana Negeri sekiranya diterima pakai melalui undang-undang Negeri tersebut.
Sehubungan itu, Akta ini telah diterima pakai oleh Negeri-negeri berikut melalui:
Enakmen Johor No. 15 (1960)
Enakmen Kedah No. 13 (1960)
Enakmen Kelantan No. 6 (1960)
Enakmen Melaka No. 7 (1960)
Enakmen Negeri Sembilan No. 21 (1960)
Enakmen Pahang No. 13 (1960)
Enakmen Pulau Pinang No. 4 (1960)
Enakmen Perak No. 6 (1960)
Enakmen Perlis No. 12 (1960)
Enakmen Selangor No. 7 (1960)
Enakmen Terengganu No. 9 (1960)
Tujuan
Untuk mengukuhkan undang-undang berkaitan pemuliharaan bukit dan perlindungan tanah daripada hakisan serta larian kelodak.
Peruntukan Utama
Peruntukan utama terkandung dalam Bahagian II dan Bahagian III Akta ini. Secara umumnya, Akta ini mengandungi:
Peruntukan berhubung pengisytiharan sesuatu kawasan sebagai tanah bukit oleh Pihak Berkuasa Negeri, serta larangan menggunakan tanah bukit bagi apa-apa tujuan selain tujuan pertanian dan perlombongan yang terhad.
Peruntukan yang memberi kuasa kepada Pentadbir Tanah mengambil tindakan terhadap tuan tanah yang tanahnya telah menyebabkan atau berkemungkinan menyebabkan kerosakan kepada tanah lain atau alur air, atau mengganggu atau berkemungkinan mengganggu penanaman di kawasan lain akibat tanah, lumpur, kelikir, kelodak atau batuan yang dibawa dari tanahnya.
Peruntukan yang memberi kuasa kepada Pentadbir Tanah mengambil tindakan terhadap tuan tanah yang tanahnya telah rosak atau berkemungkinan rosak akibat hakisan atau pergerakan tanah, lumpur, kelikir, kelodak atau batuan di atas atau dari tanah tersebut.
Penalti
Mana-mana orang yang tanpa alasan munasabah gagal mematuhi apa-apa perintah yang dibuat di bawah Akta ini, atau mana-mana peruntukannya yang menghendaki orang itu melakukan atau melarangnya daripada melakukan sesuatu perbuatan atau perkara, boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit. Jika denda tidak dibayar, orang itu boleh dipenjarakan bagi tempoh yang, tertakluk kepada Seksyen 283 Kanun Tatacara Jenayah dan mengikut keadaan, boleh dilanjutkan sehingga enam (6) bulan.
Informasi Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955
Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955
Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 (dahulunya dikenali sebagai Ordinan Pembahagian Pusaka Kecil 1955) merupakan undang-undang utama yang digunakan dalam pengurusan pusaka kecil. Sejak diterima pakai sehingga kini, beberapa semakan dan pindaan telah dibuat.
Secara keseluruhannya, Akta ini menerangkan takrif pusaka kecil serta bidang kuasa dan proses kerja yang bermula daripada permohonan pusaka, perbicaraan dan pengeluaran perintah hingga proses rayuan ke Mahkamah Tinggi. Selain Akta ini, terdapat peraturan pembahagian pusaka yang menggariskan tatacara pelaksanaan serta penggunaan borang dalam urusan penyelesaian pusaka kecil.
Dalam menentukan pembahagian, Hukum Faraid dipakai bagi harta pusaka orang Islam, manakala Akta Pembahagian 1958 dipakai bagi kematian bukan Islam. Asas Hukum Faraid berdasarkan al-Quran dan Hadith, antaranya ayat 11, 12 dan 176 daripada Surah An-Nisa’.
Informasi Akta Pelantar Benua
Akta Pelantar Benua, 1966
Latar Belakang Akta Pelantar Benua
Menurut seksyen 2, Akta Pelantar Benua (APB), 1966 (Disemak 1972), ‘Pelantar Benua’ ditakrifkan sebagai dasar laut dan tanah bawah di kawasan bawah laut yang bersempadanan dengan pantai Malaysia tetapi di luar had perairan wilayah Negeri-Negeri, yang permukaannya terletak sedalam tidak lebih daripada dua ratus meter di bawah permukaan laut, atau jika dalamnya air superjasen membolehkan eksploitasi sumber alam di kawasan tersebut, di mana-mana tempat yang lebih dalam.
Di bawah seksyen 4(4) APB, kuasa meluluskan lesen untuk mengambil pasir di kawasan pelantar benua terletak di bawah bidang kuasa Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar. Takrif kawasan ‘pelantar benua’ merujuk kepada kawasan di luar perairan wilayah negeri-negeri.
Di bawah seksyen 4(2), Emergency Essential Powers Ordinance No. 7 of 1969 (Pindaan), yang diwartakan sebagai P.U. (A) 468/1969, bagi maksud Akta Pelantar Benua 1966, ‘territorial waters’ ditakrifkan sebagai perairan laut yang bersempadan dengan pantai dan tidak melebihi tiga batu nautika yang diukur dari tikas surut perbani (low water mark). Ini bermakna kawasan di luar tiga batu nautika dari tikas surut perbani ialah kawasan pelantar benua. Sehubungan itu, Y.B. Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, yang dipertanggungjawabkan di bawah Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969, berkuasa di bawah seksyen 4(4) APB untuk mengeluarkan lesen mengambil pasir di kawasan berkenaan.
Di bawah seksyen 4(6) APB, pemberian lesen dan bilangan lesen yang boleh diberikan kepada orang atau syarikat yang sama adalah di bawah budi bicara mutlak Y.B. Menteri.
Perkara 3(2) dan (3) Warta Kerajaan P.U. (B) 365/1985, Pemberitahuan Pelantar Benua (Penetapan Borang dan Fi), menetapkan bahawa permohonan lesen untuk menjelajah, mencarigali, menggerek, melombong atau menjalankan operasi bagi mendapatkan galian dalam dasar laut atau tanah bawah pelantar benua di bawah seksyen 4 APB hendaklah diserahkan kepada dan diproses oleh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.
Informasi Akta Hakmilik Strata 1985
Akta Hakmilik Strata 1985
Akta Hakmilik Strata 1985 ialah akta untuk memudahkan pecah bahagi bangunan atau tanah kepada petak-petak, pelupusan hakmilik dan kutipan cukai, serta bagi maksud-maksud yang berkaitan dengannya.
Akta ini telah dipinda sebanyak enam kali. Pindaan terakhir ialah Akta Hakmilik Strata (Pindaan) 2016, yang mula berkuat kuasa di seluruh pentadbiran negeri pada 1 Januari 2017. Pindaan-pindaan tersebut adalah seperti berikut:
Akta A753 – pindaan tahun 1990
Akta A951 – pindaan tahun 1996
Akta A1107 – pindaan tahun 2001
Akta A1290 – pindaan tahun 2007
Akta A1450 – pindaan tahun 2013
Akta A1518 – pindaan tahun 2016
Evolusi perundangan hakmilik strata adalah seperti berikut:

Informasi Akta Tanah (Kawasan Penetapan Berkelompok), 1960
Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok),1960
Akta ini bertujuan memastikan keseragaman undang-undang dan dasar bagi tujuan pelaksanaan kawasan penempatan berkelompok dan syarat-syarat untuk pemberimilikan dan penempatan tanah di kawasan tersebut serta perkara-perkara lain yang berkaitan.
Akta ini telah dipinda pada tahun 2002 dan berkuatkuasa pada 26 Disember 2002. Rentetan daripada pindaan yang telah dilakukan, pemilikan di kawasan luar bandar dibawah Akta Kawasan Penempatan Berkelompok boleh diberimilik dan dipegang bersama antara tidak lebih daripada dua orang pemilik.
Seksyen yang telah dipinda ialah Seksyen 7, Seksyen12, Seksyen14, Seksyen15. Sementara Seksyen16 telah dikeluarkan daripada Akta tersebut. Borang AA telah diperkenalkan sebagai satu borang baru yang perlu diisi dalam kes pemindahan bahagian milik persendirian kepada isteri, bekas isteri atau saudara pemilik.
Informasi Akta Pengambilan Tanah 2016
Akta Pengambilan Tanah 2016
Kandungan akan dikemaskini