header bm

soalan lazim2| hubungi kami2| aduan2| petalaman3

LOGO Jata

search
search
Ucaptama Ketua Pengarah  Sempena Masjlis Anugerah Cemerlang 2012 & Perhimpunan Korporat JKPTG Bil. 3 / 2013   

SALUTASI

 
Yang Berbahagia Dato’ Dr. Sallehuddin bin Ishak,
Timbalan Ketua Pengarah Tanah dan Galia
Bahagian Kemajuan Pengurusan dan Perundangan, JKPTG
 
Yang Berbahagia Dato’ Mohd Shafie bin Arifin,
Timbalan Ketua Pengarah Tanah dan Galian,
Bahagian Penyelarasan dan Operasi, JKPTG
 
Yang Berbahagia Dato’-Dato’ Pengarah,
Pengarah-pengarah Seksyen,
Pengarah-pengarah JKPTG Negeri
 
 
Seterusnya, tuan-tuan dan puan-puan warga JKPTG yang saya kasihi sekalian,
 

  1. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera, Salam 1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.
 
  1. Bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnianya dapat kita bersama-sama dalam satu majlis yang sangat bermakna iaitu Majlis Perhimpunan Korporat Bil. 3/2013, dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2012 bagi Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (Persekutuan). Sekalung penghargaan juga kepada pihak penganjur yang melibatkan kolaborasi empat (4) Seksyen iaitu Seksyen Penguatkuasa dan Hasil Persekutuan (SPHP), Seksyen Pengambilan Tanah (SPT), Seksyen Maklumat Tanah (SMT), dan Seksyen Pentadbiran dan Kewangan (SP&K) kerana telah bertungkus-lumus dalam menjayakan majlis kita pada hari ini.
 
  1. Saya juga ingin menyampaikan ucapan salam daripada Y.Bhg. Dato` TKSU yang tidak dapat hadir bagi merasmikan masjli pada hari ini atas urusan kerja yang lain. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada JKPTG kerana mengundang  beliau untuk menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan JKPTG bagi tahun perkhidmatan 2012.
 
YBhg. Dato’-Dato’, tuan-tuan dan puan-puan,
 
  1. Warga Inovatif, JKPTG Kompetitif merupakan tema majlis pada kali ini. Sebagaimana kita semua maklum, pembudayaan inovasi dalam Perkhidmatan Awam bukanlah sesuatu yang mudah. Perubahan-perubahan drastik yang sedang berlaku di peringkat global mahu pun tempatan adakalanya amat sukar untuk dikejari.
 
  1. Inovasi juga tidak menjanjikan kejayaan yang pasti kepada sesebuah organisasi dalam tempoh masa yang singkat. Ia perlu ditambah baik dari masa ke semasa sesuai dengan persekitaran yang dinamik dan sentiasa berubah seperti kata-kata Bill Gates iaitu “never before in history has innovation offered promise of so much to so many in so short of time”.
 
  1. Pelaksanaan inovasi menuntut Warga JKPTG untuk lebih kreatif dan berinovatif dengan minda yang lebih berdaya saing, bijaksana dan sentiasa mencari idea-idea baru khususnya dalam menggunakan pendekatan Strategi Lautan Biru (Blue Ocean Strategy) bagi menghasilkan perkhidmatan yang berkualiti tinggi dilaksanakan dalam jangka masa yang singkat,  kos yang rendah serta mempunyai tahap keberkesanan yang tinggi.
 
  1. Bagi memastikan JKPTG akan terus kekal relevan dalam perkhidmatan awam khususnya bagi memenuhi misi JKPTG ke arah Menerajui Pengurusan dan Pentadbiran Tanah Kelas Pertama, kita perlu menyahut  dan membudayakan saranan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri melalui gagasan Cepat, Tepat dan Integriti (CTI) yang disulami dengan budaya Produktiviti, Kreativiti dan Inovasi (PCI) bertepatan dengan hasrat Merakyatkan Perkhidmatan Awam.
 
  1. Untuk makluman juga, pada tahun ini JKPTG telah melakar satu lagi kejayaan iaitu pensijilan MS ISO/IEC 27001:2007 di bawah skop Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat Bagi Pengurusan Pusat Data JKPTG(P) di Ibu Pejabat, Putrajaya. Pengiktirafan ini yang merupakan kali pertama seumpamanya diterima oleh Jabatan ini merupakan hasil komitmen dan usaha berterusan seluruh warga JKPTG dalam pelaksanaan dan pengurusan Keselamatan Maklumat.
 
  1. Selain itu, Pelaksanaan Penarafan Bintang Pentadbiran Tanah akan dijalankan pada November 2013 terhadap 26 Pejabat Tanah di seluruh Semenanjung Malaysia. Beberapa ‘roadshow’ kepada Pejabat-pejabat tanah yang terlibat dan bengkel TOT dan simulasi untuk panel penilai telah dijalankan di Temerloh dan Kuantan.
 
YBhg. Dato’-Dato’, tuan-tuan dan puan-puan,
 
  1. Kejayaan kita kecapi pada hari ini bukanlah datang dengan sendirinya tanpa kerjasama daripada semua pihak. Untuk itu Majlis Anugerah Khidmat Cemerlang bagi mengiktiraf sumbangan penjawat awam bagi JKPTG amatlah bertepatan sekali. Dalam kita menelusuri jejak kejayaan, pengiktirafan dan penghargaan adalah merupakan suatu motivasi yang sememangnya diharapkan oleh setiap penjawat awam. Saya yakin, setiap seorang daripada tuan/puan telah memberikan komitmen yang terbaik dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan.
 
  1. Suka saya mengingatkan bahawa tugas sebagai penjawat awam adalah merupakan satu pilihan tuan-tuan dan puan-puan. Oleh itu, tanggungjawab dan aku janji yang tuan-tuan dan puan-puan telah terima harus dipikul dengan penuh ikhlas dan bertanggungjawab.
 
  1. Berikanlah perkhidmatan yang terbaik yang boleh tuan/puan tunjukkan kepada rakyat kerana hanya dengan berbuat demikian sahaja Perkhidmatan Awam Negara akan lebih dipandang tinggi dan dipercayai oleh rakyat. Setiap sesuatu yang kita berikan perlulah diimplimentasikan dengan “Niat Suci Hati” (Good Faith).
     
YBhg. Dato’-Dato’, tuan-tuan dan puan-puan,
 
  1. Pada majlis kita pada kali ini, seramai 111 orang warga kerja JKPTG telah dipilih untuk Anugerah Khidmat Cemerlang Tahun 2012 yang akan menerima Sijil Penghargaan dan Sijil Simpanan Premium BSN bernilai RM1000. Syabas dan tahniah di  atas kejayaan mereka yang seharusnya dijadikan sebagai pemangkin untuk kita lebih berjaya pada masa akan datang. Sesungguhnya, penganugerahan ini adalah satu tanda pengiktirafan daripada kerajaan dan JKPTG terhadap prestasi cemerlang yang telah ditunjukkan oleh tuan/puan sepanjang tahun lalu.
 
  1. JKPTG juga turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pegawai-pegawai JKPTG yang telah berkhidmat melebihi 25 tahun dalam perkhidmatan awan. Sesungguhnya begitu besar sumbangan dan khidmat bakti yang tuan/puan taburkan dalam meletakkan Perkhidmatan Awam ditempat yang sepatutnya. Kesetiaan dan pengorbanan tuan/puan amatlah dihargai oleh negara dan pada hari ini, kita merakam ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada 85 pegawai yang akan dianugerahkan dengan Anugerah Khidmat Setia (AKS). Semoga tuan/puan terus dapat memberikan perkhidmatan yang sebaiknya kepada Perkhidmatan Awam khususnya dan negara amnya.
 
 
  1. Pada tahun ini juga, buat pertama kalinya diperkenalkan Anugerah Khas KPTG untuk 3 orang penerima yang akan diumumkan nanti. Anugerah Khas tersebut merupakan penghargaan yang diberikan kepada warga JKPTG yang memberi sumbangan bermakna di dalam Sukan, Akademik, dan Seni.
 
  1. Bagi mereka yang tidak terpilih, jangan menganggap ia sebagai satu penghalang untuk berjaya, sebaliknya tingkatkan lagi kreativiti dan produktiviti anda dan berusahalah dengan lebih gigih untuk memastikan tahun hadapan adalah giliran anda pula. Berfikir secara positif dan tingkatkan komitmen tuan-tuan dan puan-puan sekalian demi menaikkan nama dan imej JKPTG agar menjadi sebuah agensi yang disegani dan dihormati.
 
  1. Akhir kata, saya ingin menyeru semua warga JKPTG agar terus berusaha dengan gigih dan memberikan sumbangan yang maksimum dalam meningkatkan nama baik JKPTG dengan penuh rasa tanggungjawab agar visi, misi dan objektif JKPTG tercapai. Bersama-samalah kita menggapai impian di bintang, terus terbang meredah awan, mempersadakan JKPTG di puncak kegemilangan dan memartabatkan Perkhidmatan Awam di singgahsana keunggulan.
 
  1. Tahniah dan syabas sekali lagi kepada semua penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, pegawai-pegawai yang telah berkhidmat melebihi 25 tahun dalam perkhidmatan awam, dan penerima Anugerah Khas KPTG. Semoga semua penerima anugerah dan warga yang diraikan ini terus berkhidmat untuk lebih cemerlang membawa Jabatan khususnya dan JKPTG amnya ke peringkat yang lebih tinggi.
 
  1. Tanpa melengahkan masa, dengan lafaz suci Bismillahirahmanirahim, saya dengan ini merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Tahun 2012 Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian.
 
  1. Wabillahi taufik wal hidayah, wassalamualaikum warohmatullahi wabarakatuh.
 
     Sekian, Terima Kasih.
 
KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN
JABATAN KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN
KEMENTERIAN SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR
PUTRAJAYA
 
Aras 4, Podium 1, Menara PETRA
No. 25, Persiaran Perdana, Presint 4,
62574 Putrajaya
No. Telefon : +603 8000 8000
Faks              : +603 8889 3855

                   QRCode

Today 160

This Week 8266

This Month 12587

Total 10448955

any_module

Saiz Tulisan :

A- A A+

Warna Tema : 
color green  color red  color blue

article
any_module

Language Selection:

Other Language:
Click here