LATAR BELAKANG PENUBUHAN TKHS
Kementerian Tenaga dan Sumber Asli telah menubuhkan Tabung Khas Hakmilik Strata (TKHS) bagi menerima peruntukan Kerajaan, sumbangan dari mana-mana pihak sama ada perseorangan, pihak swasta, institut-institut atau mana-mana entiti dari dalam dan luar negara bagi tujuan menyelesaikan isu permohonan hakmilik strata Bangunan Khas di Semenanjung Malaysia.
Bangunan Khas ini merujuk kepada seksyen 4 Akta Hakmilik Strata 1985 (Akta 318) iaitu mana-mana bangunan yang diduduki sebelum Jun 1996 atau mana-mana bangunan yang diduduki dari Jun 1996 sehingga 11 April 2007, yang diklasifikasikan oleh Pihak Berkuasa Negeri.
Penubuhan Tabung Khas Hakmilik Strata ini akan membolehkan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli menyediakan dana untuk membiayai kos penyelesaian permohonan hakmilik strata bagi bangunan-bangunan yang telah diklasifikasikan sebagai bangunan khas di bawah Akta Hakmilik Strata 1985.
ISU BANGUNAN KHAS
Berdasarkan data terkini daripada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG), telah dikenal pasti sebanyak 637 skim yang melibatkan 37,623 petak di seluruh Semenanjung Malaysia yang menghadapi masalah untuk mendaftarkan hakmilik strata. Antara isuyang menjadi punca kegagalan permohonan hakmilik strata adalah seperti berikut :
- Masalah berkaitan tanah seperti skim bukan dalam satu lot, urusan gadaian yang belum dilepaskan, langar syarat atau kategori tanah, hakmilk masih berstatus hakmilik sementara, tunggakan cukai tanah dan sebagainya;
- Masalah berkaitan pemilik asal di mana pemilik tanah atau pemaju telah digulungkan, meninggal dunia atau masalah kewangan; dan
- Masalah berkaitan bangunan seperti bangunan terkeluar dari sempadan lot, berkongsi common access dan sebagainya.
- Masalah berkaitan keperluan dokumentasi seperti tiada pelan CPSP oleh JUPEM, CFO atau Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (Certificate of Completion and Compliance - CCC) atau tidak mencapai Peringkat Struktur Utama (Super Structure Stage - SSS).
JKPTG telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi menangani masalah ini seperti pindaan perundangan, tindakan pemantauan dan penguatkuasaan serta penubuhan TKHS.
INISIATIF PINDAAN PERUNDANGAN
Pindaan Akta Hakmilik Strata 1985 bagi memudahkan urusan permohonan hakmilik strata seperti berikut:
- memudahkan syarat-syarat permohonan hakmilik strata bagi bangunan khas seperti membolehkan penggunaan pelan as-built sebagai ganti sekiranya pelan bangunan asal yang diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan telah tiada
- menambah baik proses permohonan hakmilik strata dengan mewajibkan permohonan Sijil Formula Unit Syer (SiFUS) daripada PTG sebelum pemfailan Jadual Petak di Pihak Berkuasa Tempatan dan mendapatkan permit jualan di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
INISIATIF PEMANTAUAN DAN PENGUATKUASAAN
Penubuhan task force bersama PTG Negeri untuk memantau penyelesaian bangunan khas dan membantu PTG Negeri dalam melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap pemaju yang gagal memohon hakmilik strata
CADANGAN PENYELESAIAN ISU BANGUNAN KHAS
SUMBANGAN TKHS BAGI MEMBANTU PERMOHONAN HAKMILIK STRATA BAGI BANGUNAN KHAS
Penubuhan tabung ini merupakan komitmen Kerajaan dengan kerjasama pihak swasta dan agensi/organisasi yang turut serta menyumbang sebagai tanggungjawab sosial korporat (Corporate Social Responsibility, CSR) dalam menyelesaikan permasalahan rakyat. Melalui dana yang disediakan oleh Tabung ini, kos-kos permohonan hakmilik strata yang sepatutnya tidak menjadi bebanan kepada pemilik-pemilik petak tersebut boleh ditanggung sebahagian atau sepenuhnya oleh Tabung ini.
MANFAAT SUMBANGAN TKHS
- penolakan cukai 100% daripada LHDNM secara terus mengikut subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.
- membantu penduduk kediaman bangunan khas terutamanya bagi kediaman yang berkategori kos rendah dan sederhana untuk mendapatkan hakmilik strata.
- penyelesaian pendaftaran hakmilik strata bagi bangunan khas akan memudahkan urus niaga hartanah bangunan khas.
- membolehkan perbadanan pengurusan (Management Corporation – MC) ditubuhkan bagi memudahkan pengurusan dan pentadbiran bangunan untuk kediaman berstrata tersebut.
- urusan pembahagian harta pusaka oleh waris kepada pembeli kediaman yang telah meninggal dunia juga dapat diselesaikan dengan mudah.
Sumbangan boleh disalurkan melalui kaedah Electronic Fund Transfer (EFT)/ Bank Draf/ Kiriman Wang/ Wang Pos atas nama
KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN
Nama Bank
Alliance Islamic Bank Berhad
Nombor Akaun
160140010004397
Nama Akaun
Akauntan Negara Malaysia-KeTSA-T
Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan
Bahagian Hakmilik Strata dan Stratum, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli,
Aras G, Podium 1, Wisma Sumber Asli, No. 25, Persiaran Perdana, Presint 4, 62574 PUTRAJAYA