Skim Strata
Skim strata merupakan suatu pembangunan hartanah yang membahagikan bangunan atau tanah kepada petak-petak, petak aksesori dan harta bersama serta telah ditetapkan sistem pengurusan bagi skim tersebut. Contohnya rumah pangsa, pangsapuri, kondominium, townhouse dan rumah-rumah dalam skim komuniti berpagar.
Kepentingan Hak Milik Strata
Hakmilik strata adalah bukti pemilikan bagi tujuan urusniaga. Contohnya pindahmilik, gadaian, cagaran dan pembahagian pusaka.
Harta Bersama
Harta bersama adalah merujuk kepada mana-mana bahagian lot yang tidak terkandung dalam mana-mana petak. Contohnya tempat letak kereta pelawat, lif, tangga, tangki paip utama dan pondok pegawai keselamatan
Petak Aksesori
Petak aksesori adalah petak lain yang digunakan secara eksklusif oleh tuan punya petak hakmilik strata. Contohnya, tempat letak kereta yang hanya boleh digunakan secara eksklusif oleh pemilik petak.
Hak-hak Pemilik Petak
- membuat urusniaga seperti pindahmilik, memajak, menggadai, memecah dan menyatukan petak-petak yang dimilikinya;
- mengundi dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan di mesyuarat agung luar biasa yang dibuat oleh Perbadanan Pengurusan;
- hak ke atas harta bersama mengikut unit syer yang diperuntukkan;
- hak ke atas sokongan, perkhidmatan seperti bekalan air, pembentungan, sistem perparitan, bekalan elektrik, pungutan sampah dan perkhidmatan lain;
- hak untuk meneliti rekod dan akaun Perbadanan Pengurusan
Tanggungjawab Utama Pemilik Petak
- membayar caruman kumpulan wang pengurusan;
- mematuhi undang-undang kecil yang sedang berkuatkuasa;
- menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Luar Biasa
- mematuhi apa-apa arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa awam / tempatan berhubungan dengan petak yang dimilikinya.
Larangan terhadap pemilik petak
- menggunakan petak untuk maksud yang menyalahi undang-undang;
- mengunakan bahan api yang mendatangkan asap atau bau busuk;
- membuang atau menjatuhkan apa-apa kotoran atau sampah di kawasan harta bersama;
- memelihara apa-apa binatang dalam petaknya yang menyebabkan keguasaran / kemarahan pemilik petak lain.
Kumpulan Wang Caruman (Management Fund)
Kumpulan wang caruman ini diuruskan oleh Perbadanan Pengurusan. Ia termasuk yuran pengurusan / caj perkhidmatan harta bersama, premium insuran kebakaran, akaun khas dan lain-lain.
Perbadanan Pengurusan
Perbadanan Pengurusan adalah sebuah badan korporat yang boleh mendakwa dan didakwa. Ia wujud di bawah Akta Hakmilik Strata 1985 dan tidak perlu didaftarkan dengan Pendaftar Syarikat atau Pendaftar Pertubuhan. Ia mempunyai hak turun-temurun (perpetual succession).
Kuasa-kuasa Perbadanan Pengurusan
- menentukan bayaran yang perlu dibuat oleh setiap pemilik petak kepada tabung pengurusan;
- membeli, menyewa atau memperolehi harta alih untuk kegunaan bersama;
- mematuhi notis / arahan oleh pihak berkuasa untuk melakukan sesuatu ke atas harta bersama;
- mengambil tindakan ke atas petakl-petak sekiranya pemilik berkenaan gagal mematuhi arahan-arahan dalam tempoh tertentu;
Tanggungjawab Perbadanan Pengurusan
- mengurus dan menyelenggarakan harta bersama untuk memberi faedah kepada semua pemlik petak;
- menginsuranskan bangunan dari kebakaran dan lain-lain risiko;
- membayar premium insurans dan lain-lain kadar yang ditetapkan;
- mempamerkan nama dan alamatnya di pintu masuk lot serta menyediakan peti surat;
- mematuhi apa-apa notis atau arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan berhubung dengan harta bersama