PANDUAN MEMBUAT PERMOHONAN BAHARU DI BAWAH SEKSYEN 8, AKTA HARTA PUSAKA KECIL (PEMBAHAGIAN) 1955 [AKTA 98]
Setiap permohonan baharu hendaklah dibuat melalui Borang A secara dalam talian melalui laman sesawang www.myland.gov.my Dokumen yang perlu DIMUAT NAIK adalah seperti berikut:
i- Petisyen di bawah Seksyen 8 (Borang A) yang telah lengkap diisi dan ditandatangani di hadapan Majistret / Pesuruhjaya Sumpah.
ii- Bukti Kematian – Salinan Sijil Kematian
iii- Salinan Kad Pengenalan Pemohon Waris
iv- Salinan Sijil Perkahwinan / Surat Perakuan Nikah atau Daftar Perkahwinan si mati
v- Salinan Hakmilik (Geran) yang lengkap
vi- Salinan Carian Rasmi yang dibeli dari Pejabat Tanah Daerah / Pejabat Tanah Galian Negeri (PTG)
vii- Salinan Bil / Resit Cukai Pintu (Taksiran) bagi Harta Tak Alih yang melibatkan rumah/bangunan.
viii- Salinan dokumen-dokumen yang terkini berkaitan dengan pemilikan harta alih si mati seperti penyata akaun simpanan, penyata ASNB, sijil saham, insurans, hakmilik kenderaan dan lain-lain.
PANDUAN MEMBUAT PERMOHONAN BERIKUTNYA DI BAWAH SEKSYEN 17, AKTA HARTA PUSAKA KECIL (PEMBAHAGIAN) 1955 [AKTA 98]
Permohonan Berikutnya merupakan permohonan yang dibuat selepas permohonan awal diselesaikan. Ianya boleh dibuat dalam keadaan berikut:
i- Ada harta yang tertinggal / tidak diisytiharkan di dalam permohonan awal;
ii- Apabila perlu melantik seorang Pemegang Amanah yang baru;
iii- Apabila perlu melantik seorang Pentadbir yang baru;
iv- Untuk membatalkan Perintah Pemberian Surat Kuasa Mentadbir dan memohon pembahagian terus dibuat kepada waris si mati;
v- Untuk membatalkan lantikan Pemegang Amanah dan memohon untuk diturunmilik kepada waris si mati; dan / atau
vi- Untuk menarik balik suatu Kaveat Pendaftar yang telah dimasukkan oleh PPP
Setiap Permohonan Berikutnya juga hendaklah dibuat melalui Borang P secara dalam talian melalui laman sesawang www.myland.gov.my.
PERBICARAAN
Semua permohonan lengkap yang diterima akan diproses oleh Pejabat Pembahagian Pusaka yang berkenaan dan satu tarikh bicara akan ditetapkan. Semua pihak yang dinyatakan di dalam Notis Perbicaraan dikehendaki hadir pada hari perbicaraan yang ditetapkan. Mana-mana waris yang dikehendaki hadir pada hari perbicaraan namun tidak dapat hadir boleh mengemukakan Borang Persetujuan (BorangDDA) yang ditandatangani di hadapan Pesuruhjaya Sumpah.
Pembahagian harta pusaka bagi si mati yang beragama Islam adalah mengikut Hukum Syarak / Faraid. Manakala pembahagian pusaka bagi si mati yang bukan beragama Islam adalah berdasarkan Akta Pembahagian 1958 [Akta 300].
Pembahagian secara muafakat atau persetujuan bersama hanya boleh dilaksanakan sekiranya semua waris yang berhak mewarisi harta pusaka si mati bersetuju sepenuhnya.
PERINTAH PEMBAHAGIAN / SURAT KUASA MENTADBIR
Perintah Pembahagian / Surat Kuasa Mentadbir akan dikeluarkan dalam tempoh 30 hari setelah perbicaraan tersebut selesai. Pihak waris hendaklah mengemukakan salinan perintah tersebut ke Pejabat Tanah / Pejabat Tanah Galian Negeri (PTG) berkaitan untuk tujuan pendaftaran harta tak alih. Manakala bagi harta alih pula, pihak waris hendaklah mengemukakan salinan perintah berkaitan ke agensi / institusi yang bertanggungjawab terhadap harta alih tersebut.

