IMBASAN ERA MODEN PENTADBIRAN TANAH DAN PENGISYTIHARAN HARI TANAH NEGARA
Era moden pentadbiran tanah negara bermula dengan termeterainya Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874 antara pihak British dan Kerajaan Kesultanan Perak. Kesan daripada perjanjian ini, jawatan Pesuruhjaya Tanah (Land Commissioner) telah diwujudkan bagi menerajui urusan pentadbiran tanah di Negeri Perak. Pelantikan Pesuruhjaya Tanah ini kemudiannya telah diikuti oleh negeri-negeri lain. Perkembangan pentadbiran tanah di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu ini telah menyebabkan keperluan mewujudkan pentadbirannya secara berpusat. Maka, pada 27 Julai 1896, pihak British telah melantik Sir Henry Conway Belfield sebagai Pesuruhjaya Tanah dan Galian (Commissioner of Lands and Mines) yang pertama di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.
Pentadbiran tanah moden di Negeri Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang pada awal penubuhannya adalah untuk menamatkan konflik dan pertikaian sempadan dan kuasa pembesar daerah yang telah berlarutan beratus tahun. Selepas merdeka, pentadbiran tanah memberikan sumbangan besar kepada pembangunan negara. Oleh kerana itu, Hari Tanah Negara telah ditetapkan pada 27 Julai setiap tahun bagi menghargai sumbangan warga pentadbiran tanah kepada keamanan dan kemajuan Negara.
SAMBUTAN HARI TANAH NEGARA TAHUN 2018
Sambutan Hari Tanah Negara bagi tahun 2018 telah diadakan pada 27 Julai 2018. Tema yang telah dipilih bagi sambutan Hari Tanah Negara kali ini adalah “Meneroka Peluang Baharu Pembandaran Negara” sejajar dengan keperluan arus pembangunan yang pesat pada masa kini dan kepentingan tanah sebagai sumber utama dalam pertumbuhan negara.
Pada tahun ini, Hari Tanah Negara disambut dengan penganjuran tiga persidangan secara serentak iaitu Persidangan Pentadbir Tanah Ke-24, Persidangan Penolong Pegawai Tanah Semenanjung Malaysia Ke-6 dan Persidangan Pengambilan Tanah. Majlis Perasmian Hari Tanah Negara 2018 dan Persidangan Pentadbir Tanah Ke-24 telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Datin Sri Wan Azizah bin Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri pada 27 Julai 2018 di Putrajaya International Convention Centre (PICC).
Persidangan Pentadbir Tanah kali ini telah dihadiri oleh seramai lebih kurang 300 orang peserta daripada Pentadbiran Tanah Negeri dan Daerah termasuk warga Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan. Beberapa isu penting terutamanya yang berkaitan dengan perundangan strata serta pembangunan berstrata selaras dengan tema persidangan telah dibincangkan menerusi persidangan ini. Antara kertas kerja yang telah dibentangkan adalah melibatkan Pewujudan Lot 3D Ke Arah Pembangunan Berlapis yang dikira sebagai konsep baharu pembangunan pembandaran pada masa depan, Pembangunan Semula Skim Strata serta Realiti Kehidupan Berstrata. Persidangan kali ini telah berjaya membuka minda para peserta supaya lebih bersedia untuk membuat lonjakan minda bagi mengharungi cabaran pembandaran baharu yang lebih kepada konsep berstrata.