Akta Hakmilik Strata 1985 (Akta 318) adalah perundangan berkaitan permohonan dan pemilikan strata dan perkara yang berkaitan termasuk cukai petak.
Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) merupakan perundangan yang berkaitan dengan hal-hal pengurusan strata termasuk tanggungjawab dan peranan Badan Pengurusan Bersama (JMB), Perbadanan Pengurusan (Management Corporation – MC) serta penubuhan Tribunal Pengurusan Strata.
Perbadanan Pengurusan merupakan satu pertubuhan yang terdiri daripada semua pemilik petak yang wujud setelah buku daftar strata dibuka bagi menjalankan tanggungjawab dan tugas berhubung pengurusan skim strata. Perbadanan Pengurusan hendaklah kekal turun-temurun serta boleh mendakwa dan didakwa. Perbadanan Pengurusan turut merupakan pemilik kepada harta bersama.
Bagi sebarang aduan/pertanyaan mengenai pengurusan skim strata, pemilik petak perlu merujuk kepada Pesuruhjaya Bangunan di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengikut lokasi di mana hartanah tersebut terletak manakala sebarang pertikaian pengurusan hendaklah dibuat kepada Tribunal Pengurusan Strata yang ditubuhkan melalui Akta Pengurusan Strata 2013 di bawah Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Apabila buku daftar strata dibuka, hakmilik strata akan didaftarkan dan perbadanan pengurusan akan tertubuh secara automatik. Hakmilik strata tersebut akan didaftarkan atas nama pemilik tanah asal/pemaju. Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab pemilik tanah asal/pemaju untuk memindahmilik hakmilik strata tersebut kepada pembeli-pembeli petak menggunakan Borang 14A Kanun Tanah Negara.
Perbadanan pengurusan yang tertubuh akibat pembukaan buku daftar strata akan dianggotai oleh pemilik tanah asal/pemaju sehingga pindahmilik hakmilik strata mencapai ¼ unit syer dari keseluruhan unit syer di dalam sesebuah skim. Sekiranya ¼ unit syer ini telah dipenuhi, pemilik tanah asal/pemaju boleh menyerahkan tanggungjawab sebagai perbadanan pengurusan kepada pembeli-pembeli petak melalui mesyuarat agung kali pertama perbadanan pengurusan tersebut.
Pengendalian Perbadanan Pengurusan dikawal di bawah Akta Pengurusan Strata 2013 [Akta 757] yang diselia oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).