header bm

soalan lazim2| hubungi kami2| aduan2| petalaman3

LOGO Jata

search
search
All Items
Soalan Lazim
Apakah yang dimaksudkan dengan Harta Pusaka Kecil?
Harta Pusaka Kecil merupakan harta peninggalan si mati yang mempunyai ciri-ciri berikut:
a) Si mati tidak ada meninggalkan Wasiat (Will) bagi si mati yang bukan Islam
b) Harta si mati terdiri daripada:
              i- Harta Tak Alih sahaja
              ii- Harta Tak Alih Bersama Harta Alih
c) Jumlah nilaian keseluruhan harta si mati tidak melebihi RM2 juta pada tarikh permohonan dibuat.
Apakah yang dimaksudkan dengan harta tak alih dan harta alih?
Harta tak alih adalah seperti tanah dan rumah. Manakala harta alih adalah seperti wang simpanan, saham dan kenderaan.
Siapa yang boleh membuat permohonan?
Antara pihak yang boleh membuat permohonan pembahagian pusaka adalah seperti berikut:
a) Waris si mati (benefisiari si mati) seperti pasangan (suami/isteri), anak lelaki/perempuan atau ibu dan bapa si mati.
b) Pemiutang (creditor) atau Pengkaveat
c) Pembeli di bawah suatu Perjanjian Jual Beli yang sah
d) Pemegang gadaian, pemegang serah hak tau pemegang pajakan tanah si mati
e) Pemegang Amanah, Ketua Pengarah Insolvensi, Amanah Raya Berhad
f) Majlis Agama Islam Negeri (Baitulmal) yang mempunyai kepentingan atas harta pusaka si mati.
Bagaimana cara untuk membuat permohonan pembahagian pusaka kecil?
Permohonan pembahagian pusaka kecil boleh dibuat secara dalam talian dengan melayari portal www.jkptg.gov.my dan klik kepada JKPTG Online pada capaian Orang Awam dan pilih Permohonan Pembahagian Pusaka Kecil dan klik pada Pengguna Awam. Sila pilih daftar akaun baru pada sistem MyeTaPP sebelum boleh memulakan pengisian permohonan.
Apakah dokumen yang diperlukan untuk membuat Permohonan Baharu (Borang A – Seksyen 8) pembahagian pusaka kecil?
Dokumen yang diperlukan untuk membuat Permohonan Baharu adalah seperti berikut:-
1. Salinan Sijil Kematian
2. Salinan Kad Pengenalan Pemohon dan Waris (salinan muka hadapan dan belakang) dan salinan Kad Pengenalan /Sijil Kelahiran bagi waris yang berumur kurang dari 18 tahun.
3. Salinan Sijil Perkahwinan atau Daftar Perkahwinan simati.
4. Dua (2) Salinan Hakmilik / Geran bagi harta tak alih yang dituntut jika ada Hakmilik / Geran; atau Dua (2) Salinan Surat Perjanjian Jual Beli harta tak alih yang dituntut atau Daftar Pegangan (Registry of Holding) jika harta tersebut masih belum mempunyai Hakmilik / Geran.
5. Dua (2) Salinan Carian Rasmi yang dibeli dari Pejabat Tanah Daerah bagi hakmilik HSM/GM/PM atau Pejabat Tanah Galian Negeri (PTG) bagi hakmilik HSD/GRN/PN.
6. Salinan Bil / Resit Cukai Pintu (Taksiran) jika berkaitan.
7. Salinan dokumen-dokumen yang terkini berkaitan dengan pemilikan harta alih simati seperti penyata akaun simpanan, sijil saham, insurans, hakmilik kenderaan dan lain-lain (jika ada).
8. Salinan dokumen Penyata Hutang Piutang simati (jika berkaitan).
Apakah dokumen yang diperlukan untuk membuat Permohonan Berikutnya (Borang P – Seksyen 17) pembahagian pusaka kecil?
Dokumen yang diperlukan untuk Permohonan Berikutnya adalah seperti berikut:-
1. Borang P yang lengkap diisi.
2. Satu (1) salinan perintah terdahulu.
3. Jika Permohonan Berikutnya adalah bagi tujuan:
     3.1 Harta Tak Alih yang ketinggalan
          - Dua (2) Salinan Hakmilik / Geran bagi harta tak alih yang dituntut atau Dua (2) Salinan Surat Perjanjian Jual Beli harta tak alih yang dituntut jika harta tersebut masih belum mempunyai Hakmilik / Geran; dan
          - Dua (2) Salinan Carian Rasmi yang dibeli dari Pejabat Tanah Daerah bagi hakmilik HSM/GM/PM atau Pejabat Tanah Galian Negeri (PTG) bagi hakmilik HSD/GRN/PN.
     3.2 Harta Alih yang ketinggalan
         - Satu salinan dokumen harta alih tersebut (penyata akaun simpanan, sijil saham, insurans, geran kenderaan dan lain-lain)
     3.3 Membatalkan Suratkuasa Mentadbir / Pemegang Amanah
         - Satu (1) Salinan Hakmilik / Geran atau Carian Rasmi yang telah didaftarkan nama Pentadbir / Pemegang Amanah.
Adakah saya perlu memuat naik semua dokumen ke dalam sistem MyeTaPP?
Buat masa sekarang hanya dokumen yang melibatkan harta tak alih sahaja yang perlu dimuat naik ke dalam sistem MyeTaPP bagi mempercepatkan proses penilaian harta tak alih oleh pihak Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).
Adakah Borang Permohonan dan dokumen sokongan yang telah dihantar secara atas talian perlu dihantar ke Unit Pembahagian Pusaka?
Ya, Borang Permohonan dan dokumen sokongan perlu dihantar secara fizikal (hardcopy) ke Unit Pembahagian Pusaka yang berkenaan dalam tempoh 30 hari setelah permohonan dihantar secara atas talian.
Di mana saya perlu menghantar Borang Permohonan dan dokumen sokongan?
Borang Permohonan dan dokumen sokongan hendaklah dihantar ke Unit Pembahagian Pusaka di mana harta tak alih simati terletak sepertimana dalam Slip Pengesahan Permohonan samaada secara serahan di kaunter atau melalui poslaju/kurier.
Bolehkah saya membuat permohonan pusaka kecil sekiranya si mati hanya meninggalkan harta alih sahaja seperti wang simpanan dan kenderaan?
Unit Pembahagian Pusaka, Jabatan Ketua Pengarah Tanah & Galian Persekutuan hanya menguruskan permohonan harta pusaka kecil yang melibatkan harta tak alih sahaja seperti rumah dan tanah atau harta tak alih bersama harta alih seperti wang simpanan dan kenderaan yang nilai keseluruhannya di bawah RM 2 juta. Sekiranya simati hanya meninggalkan harta alih sahaja seperti wang simpanan dan kenderaan, maka tuan/puan hendaklah membuat permohonan di Amanah Raya Berhad (ARB) yang mempunyai bidangkuasa tersebut.
Bagaimanakah cara untuk saya mengemaskini maklumat permohonan dalam talian yang telah dihantar?
Permohonan yang telah dihantar secara dalam talian tidak boleh dikemaskini. Oleh itu, pihak tuan/puan dinasihatkan memohon pembatalan permohonan tersebut melalui e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. dengan menyertakan nama dan nombor kad pengenalan simati dan pemohon berserta nombor rujukan online dan nyatakan sebab-sebab pembatalan untuk tindakan selanjutnya. Setelah permohonan dibatalkan, tuan/puan bolehlah membuat pengisian maklumat semula.
Apakah yang dimaksudkan dengan Bahagian Si mati?
Maksud bahagian si mati adalah merujuk kepada pecahan bahagian si mati yang dinyatakan dalam dokumen atau hakmilik simati tersebut. Jika harta tersebut adalah milik si mati seorang, maka bahagian si mati adalah 1/1 bahagian dan jika berkongsi dengan orang lain, maka bahagian simati adalah seperti yang tercatat dalam dokumen atau geran tersebut pada bahagian nama pemilik.
Apakah yang dimaksudkan dengan Orang Berkepentingan?
Orang Berkepentingan adalah orang yang mempunyai kepentingan atas harta pusaka si mati selain daripada waris yang berhak seperti pengkaveat, pembeli, penerima wasiat dan penerima hibah.
Berapa lamakah tempoh penyelesaian pembahagian pusaka kecil?
Tempoh penyelesaian pembahagian pusaka kecil adalah 4 hingga 6 bulan sahaja dari tarikh permohonan dibuat. Walaubagaimanapun tempoh ini akan menjadi lebih panjang bagi Unit Pembahagian Pusaka yang mempunyai penerimaan dan tunggakan kes yang banyak.
Bagaimanakah Notis Bicara disampaikan?
Notis Bicara (Borang D/Borang S) akan disampaikan kepada Pempetsiyen/Pemohon melalui Pos atau alamat e-mel yang didaftarkan dalam permohonan. Notis perbicaraan juga boleh disemak dan dicetak melalui sistem MyeTaPP apabila Notis Perbicaraan telah dikeluarkan.
Apakah tujuan perbicaraan diadakan?
Tujuan perbicaraan diadakan adalah untuk menentukan kesahihan harta-harta si mati, menyiasat kedudukan waris-waris si mati yang berhak dan menentukan cara pembahagian harta pusaka si mati.
Bagaimanakah harta pusaka si mati dibahagikan?
Harta Pusaka si mati bagi orang Islam akan dibahagikan mengikut hukum Faraid. Manakala bagi orang bukan Islam, pembahagian adalah mengikut Akta Pembahagian 1958. Walaubagaimanapun pembahagian secara samarata atau muafakat boleh dibuat sekiranya semua waris yang berhak bersetuju dengan cara pembahagiannya.
Adakah semua waris dikehendaki hadir ke perbicaraan?
Pempetisyen/Pemohon adalah wajib untuk menghadiri perbicaraan bersama seorang lagi waris yang berhak. Waris-waris lain yang tidak hadir atau tidak boleh hadir perbicaraan hendaklah mengemukakan Surat Persetujuan (Borang DDA) yang boleh dimuat turun melalui laman portal jabatan.
Adakah waris yang belum dewasa (bawah 18 tahun) atau yang tidak sempurna akal perlu menghadiri perbicaraan?
Waris yang belum mencapai umur 18 tahun atau yang tidak sempurna akal tidak perlu menghadiri perbicaraan tetapi Penjaganya hendaklah hadir untuk memberikan keterangan bagi pihaknya.
Siapakah yang dimaksudkan dengan Saksi Bebas?
Saksi bebas ialah orang yang mengenali diri si mati yang tidak mempunyai pertalian saudara yang dekat serta bukan di kalangan waris yang berhak menerima harta pusaka si mati tersebut.
Berapakah fee atau bayaran yang dikenakan?
Bayaran yang dikenakan adalah bayaran Perintah tertakluk kepada Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Harta Pusaka Kecil 1955. Secara ringkasnya jika jumlah nilaian harta si mati keseluruhannya adalah RM50,000 dan ke atas bayarannya adalah 0.2% daripada nilaian tersebut. (Contoh: Jika harta si mati bernilai RM100,000.00, maka jumlah bayaran Perintah yang dikenakan adalah RM200.00 sahaja).
Apa yang perlu saya lakukan sekiranya Perintah atau Surat Kuasa Mentadbir telah diperolehi?
Setelah Perintah Pembahagian atau Surat Kuasa Mentadbir diperolehi, tuan/puan hendaklah mengemukakannya bersama geran/hakmilik asal ke Pejabat Tanah untuk tujuan pendaftaran perintah pembahagian harta tak alih tersebut. Bagi harta alih pula, tuan/puan hendaklah mengemukakannya ke agensi-agensi yang berkaitan atau yang bertanggungjawab ke atas harta alih tersebut.
Mengapa Permohonan Pusaka perlu disegerakan?
a) Mengelakkan bilangan waris bertambah ramai akibat kematian yang berlapis
b) Memudahkan proses pembahagian dibuat
c) Membolehkan harta si mati dimanfaatkan oleh pihak waris
d) Mengelakkan harta si mati menjadi beku dan terbiar
e) Mengelakkan wang simpanan si mati dipindahkan ke Pendaftar Wang Tak Dituntut
Bagaimanakah cara untuk saya menghubungi Unit Pembahagian Pusaka?
Unit Pembahagian Pusaka boleh dihubungi melalui e-mel (sila rujuk alamat e-mel UPP yang berkenaan pada tab Panduan Pembahagian Harta Pusaka pada laman portal www.jkptg.gov.my) atau hubungi Pusat Pertanyaan Pusaka di talian 03-8871 2999 atau e-melkan sebarang pertanyaan ke Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Sub-kategori

location
Aras 4, Podium 1, Wisma Sumber Asli
No. 25, Persiaran Perdana, Presint 4,
62574 Putrajaya
phone
No. Telefon : +603 8000 8000
Faks              : +603 8889 3855
 email
Emel : pertanyaan[at]jkptg[dot]gov[dot]my

                   QRCode

Hari Ini 49

Minggu Ini 3902

Bulan Ini 60573

Keseluruhan 9403665

any_module

Saiz Tulisan :

A- A A+

Warna Tema : 
color green  color red  color blue

article
any_module

Pilihan Bahasa:

Bahasa Lain:
Klik di sini