header bm

soalan lazim2| hubungi kami2| aduan2| petalaman3

LOGO Jata

search
search
All Items
Soalan Lazim
Apakah yang dimaksudkan dengan Harta Pusaka Kecil?

Harta Pusaka Kecil merupakan harta peninggalan si mati yang mempunyai ciri-ciri berikut:
    a) Harta si mati terdiri daripada:
        i- Harta Alih sahaja atau;
       ii- Harta Tak Alih Sahaja atau;
      iii- Harta Alih bersama Harta Tak Alih
    b) Jumlah nilaian keseluruhan harta si mati tidak melebihi RM5 juta pada tarikh permohonan dibuat.
    c) Si mati tidak ada meninggalkan Wasiat (Will) bagi si mati yang bukan Islam

Apakah yang dimaksudkan dengan harta tak alih dan harta alih?

Harta tak alih adalah seperti tanah dan rumah. Manakala harta alih adalah seperti wang simpanan, saham dan kenderaan.

Siapa yang boleh membuat permohonan?

Antara pihak yang boleh membuat permohonan pembahagian pusaka adalah seperti berikut:

  1. Waris si mati (benefisiari si mati) seperti pasangan (suami/isteri), anak lelaki/perempuan atau ibu dan bapa si mati.
  2. Pemiutang (creditor) atau Pengkaveat
  3. Pembeli di bawah suatu Perjanjian Jual beli yang sah
  4. Pemegang gadaian, pemegang serah hak tau pemegang pajakan tanah si mati
  5. Amanah Raya Berhad
  6. Majlis Agama Islam Negeri (tertakluk kepada pewartaan enakmen setiap negeri)
Bagaimana cara untuk membuat permohonan pembahagian pusaka kecil?

Permohonan pembahagian pusaka kecil hendaklah dibuat secara dalam talian dengan melayari portal www.jkptg.gov.my dan klik kepada JKPTG Online pada capaian Orang Awam dan pilih Permohonan Pembahagian Pusaka Kecil dan klik pada Pengguna Awam atau terus ke pautan www.myland.gov.my. Sila pilih daftar akaun baru pada sistem MyLAND  sebelum boleh memulakan pengisian permohonan.

Apakah yang dimaksudkan dengan Permohonan Baru (Borang A-Seksyen 8) dan Permohonan Berikutnya (Borang P-Seksyen 17)?

Permohonan Baru adalah permohonan pembahagian harta pusaka si mati yang tidak pernah dibuat sebelum ini. Manakala Permohonan Berikutnya adalah permohonan bagi harta ketinggalan yang tidak dimasukkan dalam permohonan terdahulu yang telah selesai, pembatalan Pentadbir/Pemegang Amanah, permohonan mendapatkan Perintah Kebenaran Menjual

Apakah dokumen yang diperlukan untuk dimuat naik semasa membuat Permohonan Baru (Borang A – Seksyen 8) pembahagian pusaka kecil?

Dokumen yang diperlukan untuk membuat Permohonan Baharu adalah seperti berikut:-
     1. Salinan Sijil Kematian
     2. Salinan Kad Pengenalan Pemohon dan Waris (salinan muka hadapan dan belakang) dan salinan Kad Pengenalan /Sijil Kelahiran bagi waris yang berumur kurang dari 18 tahun.
     3. Salinan Sijil Perkahwinan atau Daftar Perkahwinan simati.
     4. Salinan Hakmilik / Geran bagi harta tak alih yang dituntut jika ada Hakmilik / Geran; atau;Salinan Surat Perjanjian Jual Beli harta tak alih yang dituntut atau Daftar Pegangan (Registry of Holding) jika harta tersebut masih belum mempunyai Hakmilik / Geran.
     5. Salinan Carian Rasmi yang dibeli dari Pejabat Tanah Daerah bagi hakmilik HSM/GM/PM atau Pejabat Tanah Galian Negeri (PTG) bagi hakmilik HSD/GRN/PN.
     6. Salinan Bil / Resit Cukai Pintu (Taksiran) jika berkaitan.
     7. Salinan dokumen-dokumen yang terkini berkaitan dengan pemilikan harta alih simati seperti penyata akaun simpanan, sijil saham, takaful, hakmilik kenderaan dan lain-lain (jika ada).
     8. Salinan dokumen Penyata Hutang Piutang simati (jika berkaitan).

Apakah dokumen yang diperlukan untuk dimuat naik semasa membuat Permohonan Berikutnya (Borang P – Seksyen 17) pembahagian pusaka kecil?

Dokumen yang diperlukan untuk Permohonan Berikutnya adalah seperti berikut:-

1. Borang P yang lengkap diisi.
2. Salinan perintah terdahulu.
3. Jika Permohonan Berikutnya adalah bagi tujuan:
      3.1 Harta Tak Alih yang ketinggalan
            - Salinan Hakmilik / Geran bagi harta tak alih yang dituntut atau Salinan Surat Perjanjian Jual Beli harta tak alih yang dituntut jika harta tersebut masih belum mempunyai Hakmilik / Geran; dan
            - Salinan Carian Rasmi yang dibeli dari Pejabat Tanah Daerah bagi hakmilik HSM/GM/PM atau Pejabat Tanah Galian Negeri (PTG) bagi hakmilik HSD/GRN/PN.
            - Salinan Bil / Resit Cukai Pintu (Taksiran) jika berkaitan.
       3.2 Harta Alih yang ketinggalan
            - Salinan dokumen harta alih tersebut (penyata akaun simpanan, sijil saham, takaful, geran kenderaan dan lain-lain)
       3.3 Membatalkan Suratkuasa Mentadbir / Pemegang Amanah
             - Salinan Hakmilik / Geran atau Carian Rasmi yang telah didaftarkan nama Pentadbir / Pemegang Amanah

Dimanakah permohonan pembahagian pusaka boleh dihantar?

Permohonan pembahagian pusaka yang telah lengkap diisi hendaklah dihantar secara dalam talian mengikut pilihan Pejabat Pembahagian Pusaka yang tertera dalam Pengesahan Permohonan berdasarkan kedudukan harta si mati seperti berikut:

  1. Jika permohonan melibatakan harta alih sahaja atau harta tak alih sahaja, maka permohonan boleh dikemukakan di mana-mana Pejabat Pembahagian Pusaka di negeri mana harta si mati tersebut berada
  2. Jika permohonan melibatkan harta alih bersama harta tak alih, maka permohonan boleh dikemukakan di mana-mana Pejabat Pembahagian Pusaka di negeri mana harta tak alih si mati tersebut berada
Bagaimanakah cara untuk saya mengemaskini maklumat permohonan dalam talian yang telah dihantar?

Permohonan yang telah dihantar secara dalam talian tidak boleh dikemaskini. Oleh itu, pihak tuan/puan dinasihatkan membuat pemakluman tentang pindaan/tambahan tersebut melalui surat rasmi ke Pejabat Pembahagian Pusaka yang berkenaan dengan melampirkan dokumen yang berkaitan.

Apakah yang dimaksudkan dengan Bahagian Si mati?

Maksud bahagian si mati adalah merujuk kepada pecahan bahagian si mati yang dinyatakan dalam dokumen atau hakmilik simati tersebut. Jika harta tersebut adalah milik si mati seorang, maka bahagian si mati adalah 1/1 bahagian dan jika berkongsi dengan orang lain, maka bahagian simati adalah seperti yang tercatat dalam dokumen atau geran tersebut pada bahagian nama pemilik.

Apakah yang dimaksudkan dengan Orang Berkepentingan?

Orang Berkepentingan adalah orang yang mempunyai kepentingan atas harta pusaka si mati selain daripada waris yang berhak seperti pengkaveat, pembeli, penerima wasiat dan penerima hibah

Berapa lamakah tempoh penyelesaian pembahagian pusaka kecil?

Tempoh penyelesaian pembahagian pusaka kecil adalah 4 hingga 6 bulan sahaja dari tarikh permohonan dibuat. Walaubagaimanapun tempoh ini akan menjadi lebih panjang bagi Pejabat Pembahagian Pusaka yang mempunyai penerimaan dan tunggakan kes yang banyak.

Bagaimanakah Notis Bicara disampaikan?

Notis Bicara (Borang D/Borang S) akan disampaikan kepada Pempetsiyen/Pemohon melalui alamat e-mel yang didaftarkan dalam permohonan. Notis perbicaraan juga boleh disemak dan dicetak melalui sistem MyLAND apabila Notis Perbicaraan telah dikeluarkan.

Apakah tujuan perbicaraan diadakan?

Tujuan perbicaraan diadakan adalah untuk menentukan kesahihan harta-harta si mati, menyiasat kedudukan waris-waris si mati yang berhak dan menentukan cara pembahagian harta pusaka si mati.

Bagaimanakah harta pusaka si mati dibahagikan?

Harta Pusaka si mati bagi orang Islam akan dibahagikan mengikut hukum Faraid. Manakala bagi orang bukan Islam, pembahagian adalah mengikut Akta Pembahagian 1958. Walaubagaimanapun pembahagian secara samarata atau muafakat boleh dibuat sekiranya semua waris yang berhak bersetuju dengan cara pembahagiannya.

Adakah semua waris dikehendaki hadir ke perbicaraan?

Pempetisyen/Pemohon adalah wajib untuk menghadiri perbicaraan bersama seorang lagi waris yang berhak. Waris-waris lain yang tidak hadir atau tidak boleh hadir perbicaraan hendaklah mengemukakan Surat Persetujuan (Borang DDA) yang boleh dimuat turun melalui laman portal jabatan.

Adakah waris yang belum dewasa (bawah 18 tahun) atau yang tidak sempurna akal perlu menghadiri perbicaraan?

Waris yang belum mencapai umur 18 tahun atau yang tidak sempurna akal tidak perlu menghadiri perbicaraan tetapi Penjaganya hendaklah hadir untuk memberikan keterangan bagi pihaknya.

Siapakah yang dimaksudkan dengan Saksi Bebas?

Saksi bebas ialah orang yang mengenali diri si mati yang tidak mempunyai pertalian saudara yang dekat serta bukan di kalangan waris yang berhak menerima harta pusaka si mati tersebut.

Berapakah fi atau bayaran yang dikenakan?

Bayaran yang dikenakan adalah bayaran Fi Perintah tertakluk kepada Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Harta Pusaka Kecil 1955. Secara ringkasnya jika jumlah nilaian harta si mati keseluruhannya di bawah RM2 juta, maka bayarannya adalah 0.2% dari nilaian tersebut. (Contoh: Jika harta si mati bernilai RM100,000.00, maka jumlah bayaran Perintah yang dikenakan adalah RM200.00 sahaja). Jika nilaian harta si mati berjumlah RM2,000,001.00 hingga RM5,000,000.00, maka bayarannya adalah 0.3% dari nilaian tersebut.

Apa yang perlu saya lakukan sekiranya Perintah atau Surat Kuasa Mentadbir telah diperolehi?

Setelah Perintah Pembahagian atau Surat Kuasa Mentadbir (Borang E/F/T/HH) diperolehi, tuan/puan hendaklah mengemukakannya bersama geran/hakmilik  asal ke Pejabat Tanah untuk tujuan pendaftaran perintah pembahagian harta tak alih tersebut. Bagi harta alih pula, tuan/puan hendaklah mengemukakannya ke agensi-agensi yang berkaitan atau yang bertanggungjawab ke atas harta alih tersebut.

Mengapa Permohonan Pusaka perlu disegerakan?
  1. Mengelakkan bilangan waris bertambah ramai akibat kematian yang berlapis
  2. Memudahkan proses pembahagian dibuat
  3. Membolehkan harta si mati dimanfaatkan oleh pihak waris
  4. Mengelakkan harta si mati menjadi beku dan terbiar
  5. Mengelakkan wang simpanan si mati dipindahkan ke Pendaftar Wang Tak Dituntut
Bagaimanakah cara untuk saya menghubungi Pejabat Pembahagian Pusaka?

Sebarang pertanyaan berkaitan permohonan pembahagian pusaka boleh hubungi Pusat Pertanyaan Pusaka di talian 03-8871 2999 atau pertanyaan melalui Sistem MyLAND (www.myland.gov.my).

location
Aras 4, Podium 1, Menara PETRA
No. 25, Persiaran Perdana, Presint 4,
62574 Putrajaya
phone
No. Telefon : +603 8000 8000
Faks              : +603 8889 3855

                   QRCode

Hari Ini 560

Minggu Ini 3382

Bulan Ini 19326

Keseluruhan 9895157

any_module

Saiz Tulisan :

A- A A+

Warna Tema : 
color green  color red  color blue

article
any_module

Pilihan Bahasa:

  • Bahasa Melayu
  • English
Bahasa Lain:
Klik di sini