Petak/petak tanah lazimnya dikenali sebagai unit kediaman/komersial yang dijual oleh pemilik tanah kepada pembeli petak.
Petak aksesori pula adalah petak yang digunakan bersama-sama dengan suatu petak/ petak tanah. Petak aksesori tidak boleh diurus niaga berasingan dengan petak/ petak tanah yang berkaitan. Contoh petak aksesori adalah tempat letak kenderaan dan balkoni. Petak aksesori tidak semestinya diwujudkan di dalam satu-satu skim. Ianya adalah bergantung kepada pelan bangunan yang telah diluluskan oleh PBT.
Harta bersama pula adalah kesemua sekian banyak daripada lot yang tidak terkandung dalam mana-mana petak/ petak tanah termasuk petak aksesori atau mana-mana blok sementara seperti dalam pelan strata yang diluluskan. Contoh harta bersama adalah lif, tangga, bilik serbaguna, rumah sampah, jalan masuk, kolam renang dan sebagainya.
Ini juga merangkumi mana-mana bahagian dalam lingkungan sempadan skim strata yang tidak terkandung di dalam hakmilik petak. Contohnya, ruang legar (koridor), laluan/ jalan antara bangunan, kawasan parkir (yang bukan diuntukkan sebagai petak aksesori) dan sebagainya.