-
Sekiranya simati berugama Islam meninggalkan wasiat, perlukan waris si mati memohon pembahagian harta pusaka si mati?
Waris perlu memohon pembahagian harta pusaka si mati di Pejabat Tanah/Unit Pembahagian Pusaka di mana harta tak alih terletak walaupun si mati ada meninggalkan wasiat dan nilaian keseluruhan harta simati tersebut di bawah RM2 juta. -
Apakah wasiat?
Wasiat merujuk kepada pemberian harta daripada seseorang yang masih hidup kepada mana-mana orang atau badan dan ianya dilaksanakan hanya setelah pemberi tersebut meninggal dunia. Bagi orang bukan Islam, wasiat tertakluk kepada Akta Wasiat 1958 manakala bagi orang Islam ianya hendaklah selaras dengan beberapa penentuan syarak. -
Apakah bentuk wasiat yang dibenarkan dalam Islam?
Seseorang Islam hanya boleh mewasiatkan harta bendanya kepada orang-orang yang bukan ahli waris yang boleh mempusakai hartanya secara faraid. Sebagai contoh si mati mewasiatkan hartanya kepada anak angkat, anak tidak sah taraf, individu luar yang tiada hubungan waris ataupun badan-badan dan persatua-persatuan yang diluluskan oleh syarak. -
Bolehkah seorang Islam mewasiatkan hartanya kepada anak-anak?
Kadar harta yang boleh diwasiatkan hanyalah 1/3 daripada jumlah keseluruhan hartanya dan 2/3 harta tersebut perlu ditinggalkan kepada ahli waris yang berhak untuk diwarisi. -
Si mati seorang Islam, mempunyai anak angkat yang dipelihara sejak kecil. Sijil kelahiran anak angkat tersebut mencatatkan nama si mati sebagai bapa kandung (lawful-father). Bolehkah anak angkat tersebut menerima harta pusaka si mati?
Anak angkat kepada seseorang yang beragama Islam tidak boleh mewarisi harta bapa angkatnya walaupun pada sijil kelahiran menyatakan si mati sebagai bapa kandung (legal father). Sekiranya ada pertikaian, ianya akan dirujuk ke Mahkamah Syariah yang akan mengesahkan kesahihan pengangkatan tersebut. -
Bolehkah plot-plot bangunan yang belum dikeluarkan hakmilik strata diturunmilik kepada waris?
Plot-plot bangunan yang masih belum diturunkan hakmilikstrata boleh diturunmilik kepada waris tetapi perintah pembahagian hanyalah terhad kepada pengeluaran "Surat Kuasa Tadbir" kepada ahli waris tertentu sahaja yang kemudiannya akan membuat permohonan kemudian setelah hakmilik strata dikeluarkan. Ketika itu barulah pembahagian sebenar kepada waris-waris dapat dilaksanakan. -
Apakah anak angkat kepada si mati yang bukan beragama Islam layak menerima harta pusaka si mati berkenaan?
Anak angkat kepada si mati yang bukan beragama Islam boleh mewarisi harta si mati jika status pengangkatannya didaftarkan secara sah di bawah Akta Pengangkatan 1952 (Akta 257). -
Sekiranya sijil kematian hilang, dimanakah boleh diperolehi salinan sijil tersebut?
Cabutan sijil kematian tersebut boleh diperolehi dengan berurusan di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara. Maklumkan nama si mati, no kad pengenalan dan tarikh kematian bagi memudahakan urusan -
Apakah penama (nominee) yang beragama Islam berhak sepenuhnya kepada wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji dan Insuran si mati?
Penama yang telah dilantik oleh si mati berhak untuk mengeluarkan wang-wang yang telah dinamakan di atasnya bagi mmpercepatkan proses pengeluaran wang si mati. Namun Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan bahawa penama adalah wasi yang bertanggungjawab untuk membahagikan wang tersebut kepada waris yang berhak mengikut hukum faraid. -
Siapakah yang boleh mewarisi harta si mati?
Sekiranya si mati adalah seorang Islam, waris-waris yang berhak ialah sebagaimana ditetapkan dalam faraid seperti bapa, ibu, isteri, suami, anak lelaki, anak perempuan, cucu lelaki, cucu perempuan dan sebagainya. Bagi simati bukan Islam, waris adalah sebagaimana dinyatakan dalam (Akta Pembahagian 1958 (Distribution Act 1958) iaitu seperti ibu, bapa, suami, isteri, anak-anak dan zuriat / keturunan (issues) yang ke bawah. -
Di manakah Sijil Faraid boleh diperolehi?
Sijil Faraid boleh diperolehi daripada Mahkamah Syariah melalui permohonan waris si mati. -
Bolehkah harta pusaka orang bukan Islam diwarisi oleh orang Islam?
Menurut pandangan ulamak Mazhab Syafi'e berpendapat bahawa orang Islam tidak boleh mewarisi harta pusaka orang yang bukan beragama Islam, begitu juga di sebaliknya di mana orang bukan Islam tidak boleh mewarisi harta orang Islam. Bagaimana pun pembahagian harta pusaka orang bukan Islam tertakluk kepada Akta Pembahagian ( Pindaan ) 1997 -Akta A1004 dan Akta Wasiat 1959 -
Adakah seorang Pentadbir (Administrator) yang dilantik oleh Pentadbir Tanah mempunyai kuasa menjual harta yang ditadbirkannya?
Pentadbir yang dilantik boleh menjual tanah yang ditadbirnya dengan syarat mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada Pentadbir Tanah atau Mahkamah Tinggi. -
Adakah bayaran lain dikenakan?
Bayaran lain yang mungkin dikenakan ialah duti harta pusaka sekiranya kematian berlaku sebelum 1 November 1991. Jumlahnya tertakluk kepada Enakmen Duti Harta Pusaka 1941. Kematian selepas tarikh tersebut adalah dikecualikan daripada duti harta pusaka. -
Apakah peruntukan yang digunapakai dalam menyelesaikan harta pusaka tanah adat ini?
Terdapat beberapa peruntukan yang digunakan dalam menyelesaikan pembahagian pusaka tanah adat. Peruntukan -peruntukan tersebut adalah Enakmen Pemegang Tanah Adat Bab 215, Enakmen Pemegangan Adat (Tanah Lengkongan) tahun 1960 dan Enakmen Rezab. -
Bagaimanakah duti harta pusaka ditentukan?
Duti harta pusaka dikira berasakan nilai aset si mati pada tarikh kematiannya, setelah ditolak belanja pengkebumian. Kadarnya adalah berbeza -beza dari tahun ke setahun di antara 1% hingga 4%. -
Mengapakah Akta Pembahagian 1958 diwujudkan?
Akta ini digubal bertujuan untuk menjelaskan hak-hak pewarisan si mati yang bukan beragama Islam serta bahagian-bahagian setiap seorang daripada mereka. Akta ini terpakai sekiranya si mati tidak meninggalkan wasiat. -
Apakah yang dimaksudkan harta sepencarian atau harta syarikat?
Harta sepencarian atau dikenali sebagai harta syarikat ialah harta yang diperolehi atau dikumpulkan bersama oleh suami isteri di sepanjang tempoh perkahwinan mereka. Kebiasaannya ia ditentukan ketika pasangan suami isteri bercerai. Bahagiannya tidak ditentukan syarak namun ianya tidak melebihi 1/2 daripada keseluruhan harta. -
Sekiranya kematian tidak didaftarkan bolehkah ia dibuktikan dengan dokumen lain?
Pemohon perlu mengemukakan Surat Akuan Bersumpah yang disediakan mengikut kehendak Akta Akuan Bersumpah 1960 (Statutory Declarations Act 1960) atau Perintah Anggapan Kematian (Order of Presumption of Death) dari Mahkamah Tinggi sekiranya si mati telah didapati hilang bagi tempoh yang melebihi 7 tahun. -
Jika si mati ialah warganegara dan mati meninggalkan waris bukan warganegara, bolehkah waris tersebut mewarisi harta peninggalan si mati?
Waris yang bukan warganegara tidak terhalang dari mewarisi harta si mati. Walaubagaimanapun, ianya tertakluk kepada Peraturan Tanah Negeri yang sedang berkuatkuasa dan pendaftaran untuk mendaftarkan nama waris warga asing hendaklah dibuat kepada Pihak Berkuasa Negeri terlebih dahulu. Sekiranya permohonan diluluskan, sejumlah bayaran pendaftaran mungkin akan dikenakan. -
Mengapakah tanah-tanah di bawah Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 tidak boleh dibahagikan terus kepada waris-waris?
Tanah di bawah Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 tertakluk kepada Seksyen 16 Akta tersebut yang hanya membenarkan turunmilik dilakukan kepada dua orang waris sahaja. -
Apakah hak seorang isteri yang diceraikan?
Seorang isteri yang diceraikan berhak menerima harta sepencarian hasil usaha mereka bersama sepanjang tempoh perkahwinan. Sekiranya dalam tempoh iddah, bekas suaminya meninggal dunia, isteri yang diceraikan berhak mewarisi 1/8 daripada harta bekas suaminya. -
Jika waris bermastautin di luar Malaysia, siapakah yang boleh menyaksikan Surat Persetujuan Pembahagian?
Penyaksian boleh dilakukan oleh Penyaksi Awam atau Perwakilan Malaysia di negara berkenaan. -
Apakah tindakan yang boleh di ambil untuk menyelesaikan pembahagian pusaka sekiranya terdapat waris si mati yang hilang dan tidak dapat di kesan?
Kehilangan waris berkenaan boleh diiklankan di akhbar-akhbar. Selepas tempoh tertentu perbicaraan boleh diteruskan dan pembahagian akan di buat berdasarkan hukum faraid bagi yang beragama Islam dan Akta Pembahagian 1958 bagi yang bukan beragama islam. Seterusnya (pentadbir) akan dilantik bagi mentadbirkan bahagian waris tersebut. Sekiranya perintah penjualan dikeluarkan, hasil jualan bahagian waris yang hilang tersebut akan di simpan di Pejabat Amanah Raya berhad. -
Apakah sistem pewarisan mengikut adat ini berbeza dengan sistem pewarisan mengikut undang-undang Islam (faraid) dan sejauh manakah pemakaianya?
Terdapat perbezaan dalam sistem pewarisan tanah adat terutama dari segi waris-waris yang berhak dan bahagian waris-waris tersebut. Walaubagaimanapun, pemakaiannya hanyalah terbatas di bawah Enakmen Pegangan Adat Bab 215 dan Enakmen Pegangan Adat (Tanah Lengkongan) 1960 yang mempunyai jumlah keluasan sebanyak 13, 981 hektar. -
Di daerah manakah di Negeri Sembilan dan Melaka terdapat tanah adat tersebut?
Tanah adat banyak terdapat di daerah Jelebu, Rembau, Kuala Pilah, Jempol, Tampin dan Gemas di Negeri Sembilan. Manakala di Melaka, tanah adat terdapat di daerah Alor Gajah dan Jasin. Keluasan keseluruhan tanah adat di Negeri Sembilan ialah 34.550 ekar. -
Bolehkah harta pusaka si mati yang bukan berugama Islam dan meninggalkan wasiat diselesaikan di bawah bidang kuasa pusaka kecil sekiranya nilai keseluruhan harta tersebut kurang atau RM 2 juta?
Penyelesaian harta pusaka berwasiat bagi bukan Islam adalah terletak di bawah jurisdiksi Mahkamah Tinggi. Oleh yang demikian, sekiranya simati meninggalkan wasiat sama ada mewasiatkan sebahagian atau kesemua hartanya dan nilai hartanya adalah RM2 juta atau kurang ianya tidak ditakrifkan sebagai harta pusaka kecil. -
Adakah Akta Pembahagian 1958 memperuntukan apa-apa bahagian kepada waris yang telah mati terdahulu dari si mati?
Tiada peruntukan untuk waris yang mati terdahulu dari si mati dan Akta menyatakan hanya waris yang hidup (surviving issues) sahaja yang layak mendapat harta si mati. -
Siapakah yang berhak ke atas harta pusaka si mati seandainya si mati tidak mempunyai waris?
Seandainya si mati tidak meninggalkan waris, maka Akta Pembahagian 1958 memperuntukan harta tersebut kembali kepada kerajaan untuk diuruskan. -
Apakah perkara-perkara yang perlu diselesaikan oleh waris sebelum harta pusaka si mati dibahagikan?
Terdapat beberapa perkara yang perlu diselesaikan oleh waris si mati sebelum harta pusaka dibahagikan. Imam Nawawi dalam kitabnya (Minhaj -El-Tolibin) telah menjelaskan bahawa 3 perkara yang perlu diselesaikan oleh ahli waris ialah:
a. Belanja pengkebumian
b. Hutang si mati
c. Wasiat -
Bolehkah seorang isteri menuntut harta sepencarian di atas harta pusaka suaminya yang telah meniggal dunia?
Seseorang isteri boleh menuntut harta sepencarian di atas harta pusaka suaminya dan ia hendaklah dikemukakan di Mahkamah Syariah dengan menyertakan bukti-bukti yang boleh menyokong tuntutan tersebut. Sumbangan isteri dalam perolehan atau pengumpulan harta berkenaan akan diambilkira sebagai asas dalam menentukan jumlah yang layak diperuntukan. Perintah dalam Mahkamah Syariah akan digunapakai dalam pembahagian harta pusaka si mati tersebut. -
Bolehkah seorang suami menuntut harta sepencarian di atas harta pusaka isterinya yang telah meningggal dunia?
Asas hukumnya adalah sama sebagaimana tuntutan yang dibuat oleh seorang isteri iaitu perlu merujuk ke Mahkamah Syariah dan perintah yang dikeluarkan akan digunapakai dalam urusan pembahagian pusaka selanjutnya. -
Bagaimana hak perwarisan seorang isteri / suami yang telah diperuntukan harta sepencarian kepadanya?
Walaupun telah diperuntukan bahagian harta sepencarian atau harta syarikat, namun isteri/suami masih boleh mewarisi baki harta si mati secara faraid bersama-sama waris-waris lain. -
Adakah konsep harta sepencarian turut digunapakai dalam pembahagian harta pusaka si mati yang bukan beragama Islam?
Konsep harta sepencarian tidak berlaku dalam pembahagian pusaka  bukan Islam namun, wujud konsep matrimonial asset di kalangan bukan Islam di mana harta akan dibahagikan di antara suami dan isteri sebaik sahaja perkahwinan mereka dibubarkan tetapi tidak selepas kematian suami atau isteri tersebut.
-
Apakah hak anak luar nikah terhadap pewarisan harta?
Anak luar nikah boleh mewarisi harta ibunya tetapi tidak boleh mewarisi harta bapanya.
-
Apakah yang dimaksudkan dengan tanah adat (customary land)
Tanah adat adalah merujuk kepada tanah di bawah hakmilik Pejabat Tanah yang diwartakan di bawah Enakmen Pegangan Adat, Bab 215 dan Enakmen Pegangan Adat (Tanah Lengkongan) 1960 dan ianya diwarisi secara turun temurun oleh sesuatu suku kaum secara berkelompok. Dalam sijil daftar tanah tersebut tercatit nama suku atau kaum berkenaan. Tanah adat terdapat di Negeri Sembilan dan Melaka. -
Adakah Ibu dan bapa simati yang mengalami masalah nyanyuk masih dikira sebagai waris simati?
Walaupun kedua ibu bapa si mati sudah tua dan nyanyuk mereka masih di kira waris yang sah dan layak ke atas pusaka si mati. -
Kesemua waris tinggal berjauhan dari tempat terletaknya harta pusaka simati, tidak berminat kepada harta pusaka tersebut, dan berhasrat untuk menjual harta. Bolehkah ia dilaksanakan?
Waris boleh menjual pusaka tersebut walaubagaimanapun Pentadbir Tanah akan mengeluarkan Surat Kuasa Mentadbir terlebih dahulu, dan pentadbir perlu mendapatkan perintah Mahkamah Tinggi untuk kebenaran menjual harta. -
Sekiranya perkahwinan tidak didaftarkan mengikut Akta memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, apakah balu/duda layak mewarisi harta pusaka salah seorang daripada mereka sekiranya berlaku kematian?
Walaupun perkahwinan mereka dianggap tidak sah di bawah Akta berkenaan, namun balu/duda masih layak mewarisi harta pusaka salah seorang daripada mereka, sekiranya dapat dibuktikan bahawa perkahwinan di antara mereka berdua telah sebenarnya berlaku mengikut adat dan amalan masyarakat mereka. -
Peneroka asal telah meninggal dunia sebelum dokumen dikeluarkan. Selepas itu, dokumen hakmilik dikeluarkan di atas nama isteri peneroka. Bagaimanakah perkara tersebut berlaku?
Perkara ini berlaku kerana waris tidak membuat permohonan pusaka dengan merujuk kepada nombor R.O.H setelah peneroka meninggal dunia. Oleh yang demikian urusan pengeluaran dokumen hakmilik telah ditukar terus kepada nama isteri simati tanpa ada perintah perlantikan pentadbir daripada Pentadbir Tanah.
-
Adakah tanah yang dikeluarkan hakmiliknya atas nama isteri si mati seperti kes peneroka meninggal sebelum dokumen hakmilik dikeluarkan di kira sebagai harta pusaka si mati atau isterinya?
Sepatutnya, harta itu adalah harta peneroka asal. Walaubagaimanapun, setelah dokumen hakmilik didaftarkan kepada nama isteri simati, Pentadbir Tanah perlu merujuk kepada Seksyen 340 Kanun Tanah Negara, yang menyatakan hakmilik yang tidak boleh disangkal kepada pemilik yang tertera namanya itu. Maka demikian, harta itu dikira sebagai harta pusaka isteri simati.
-
Apakah rasional sekatan kepentingan tanah GSA yang tidak membenarkan tanah dimiliki oleh lebih daripada dua orang pemilik?
Rasional di atas sekatan kepentingan ini adalah berdasarkan kepada matlamat Akta GSA itu sendiri, iaitu untuk memaksimumkan hasil daripada kegiatan pertanian, yang mana hakmilik tidak boleh dimiliki oleh pemilik yang ramai. -
Dokumen hakmilik bagi tanah-tanah rancangan dikeluarkan berperingkat. Ada sebahagiannya dikeluarkan terdahulu dan pernah diturunmilik kepada seseorang. Bolehkah dokumen tanah yang diterima kemudian itu diturunmilik kepada seseorang yang lain?
Dokumen tanah yang diterima kemudian tidak boleh diturunmilik kepada waris lain. Ini adalah disebabdkan hakmilik yang tertinggal itu akan menuruti perintah yang sama dalam perbicaraan terhadap hakmilik yang dibicarakan terdahulu, kerana kesemuanya adalah hakmilik berangkai. -
Peneroka (simati) ada membuat wasiat yang bertentangan dengan sekatan tanah GSA? Bolehkah wasiat itu dilaksanakan?
Sebarang wasiat yang tidak selari dengan sekatan-sekatan tanah, tidak dapat dilaksanakan. -
Bagaimanakah penyelesaian harta-harta alih seperti kenderaan, wang simpanan, dan saham koperasi simati boleh diselesaikan?
Harta-harta alih yang dimiliki oleh simati bersama dengan harta-harta tak alih boleh boleh diselesaikan bersama-sama dalam pembicaraan harta pusaka kecil..